Ibarat berada dalam penggambaran filem aksi. Itu pengalaman mencemaskan dilalui pemilik restoran, Muhamad Aris Mustakim Mohd Zaki, 29, yang dikejutkan dengan bunyi tembakan dan letupan bom ketika berada di rumah mentuanya di Kampung Perali, Reuso, di selatan Thailand.
Muhamad Aris berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, insiden pertempuran antara puak pemberontak dan tentera Thailand itu berlaku kira-kira jam 9.15 malam kelmarin ketika dia berkunjung ke rumah mentuanya. Dia memaklumkan baru berkahwin dengan isteri, Hanan Abd Karim, lapan bulan lalu. Ketika kejadian, dia bersama kakak iparnya, Hana' Abd Karim, 31, berada di rumah manakala isteri dan mentua pergi ke surau bagi menunaikan solat tarawih. "Saya kurang sihat malam itu, jadi saya tidak ikut isteri dan mentua ke surau. Ketika sedang duduk berehat, saya terdengar bunyi berbalas tembakan dari luar kediaman.
"Kebetulan ada empat kanak-kanak sedang bermain di luar rumah. Saya segera panggil mereka masuk ke dalam rumah untuk berlindung," katanya ketika dihubungi Harian Metro. Muhamad Aris mengakui kejadian pertama kali dialami itu amat menggerunkan. "Rasa takut dan gementar bercampur baur. Malah saya dan kakak ipar hanya mampu mengucap, berdoa dan berzikir dijauhi daripada bahaya. "Bagaimanapun saya lebih bimbangkan keselamatan isteri yang berada di masjid. "Bunyi tembakan dan bom itu berterusan hingga 20 minit keadaan pulih sediakala," katanya yang berkongsi pengalaman itu di Tik Tok. Muhamad Aris Mustakim bersyukur kerana dirinya dan keluarga selamat serta tidak menjadi mangsa 'perang' antara tentera Thailand dan pihak pemberontak yang kerap melakukan serang hendap. Sumber: HARIAN METRO, TIKTOK ARIS SEAN
|
ADVERTISEMENT