Seorang pekerja sambilan didakwa di Mahkamah Sesyen, Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.
Tertuduh Muhammad Zakir Ramli, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang individu dengan niat untuk menyakiti hati antara jam 7.30 pagi, 20 Mei 2021 hingga jam 3.02 pagi, 28 Mei 2021. Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nazrul kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh, namun Muhammad Zakir dalam rayuannya meminta jumlah itu dikurangkan. Tertuduh memaklumkan dia hanya bekerja secara sambilan dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan dan perlu menyara isteri serta seorang anaknya berusia setahun. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam. Sumber: BH ONLINE
|
ADVERTISEMENT