Sri Lanka yang berdepan masalah ekonomi mempertimbangkan untuk mengeksport sehingga 100,000 monyet terancam ke China. Langkah itu dimaklumkan oleh Menteri Pertanian negara pada Rabu lalu dan ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis.
Toque macaque adalah monyet yang juga haiwan endemik di Sri Lanka, tetapi dikelaskan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN). Sri Lanka mengharamkan hampir semua eksport haiwan hidup dan cadangan penjualan monyet itu ketika negara berkenaan berdepan krisis ekonomi terburuk sejak merdeka. Bagaimanapun, tiada butiran kewangan disediakan. "Mereka mahukan monyet untuk lebih 1,000 zoo yang ada di seluruh China. "Saya melantik jawatankuasa untuk mengkaji permintaan itu dan melihat bagaimana kita boleh melakukan ini," kata Menteri Pertanian Mahinda Amaraweera kepada AFP.
Monyet dianggap sebagai perosak di Sri Lanka kerana memusnahkan tanaman dan menyerbu kampung untuk mencari makanan dan kadangkala menyerang orang. Sri Lanka mengeluarkan beberapa spesies daripada senarai yang dilindungi pada tahun ini termasuk ketiga-tiga spesies monyet, burung merak dan babi hutan, membolehkan petani membunuh mereka. Yayasan Alam Sekitar, sebuah kumpulan hak haiwan Sri Lanka, mengkritik cadangan penjualan itu, dengan mengatakan tiada tinjauan di seluruh negara ke atas monyet selama lebih daripada 40 tahun. Menurutnya, kajian populasi yang sewajarnya harus dilakukan terlebih dahulu. "Kami ingin tahu mengapa mereka mahukan begitu banyak monyet sama ada untuk daging, penyelidikan perubatan atau tujuan lain," kata pakar alam sekitar, Jagath Gunawardana kepada pemberita di Colombo. Toque macaque secara rasmi dianggarkan berjumlah antara dua juta hingga tiga juta di Sri Lanka. Sumber: HARIAN METRO |
clarizsa replied at 16-4-2023 06:45 PM
Untuk makanan la tu
Kt msia pun byk monyet
ADVERTISEMENT