SERI KEMBANGAN –Sissy Imann terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan kerana sibuk menyiapkan kajian ilmiah bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana yang perlu diselesaikan menjelang Ogos.
Katanya, jauh di sudut hati dia teringin masuk ke set penggambaran, namun bimbang tidak mampu membahagikan masa dengan baik sehingga boleh menjejaskan pengajiannya. “Sebenarnya sudah hampir empat tahun saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan tahun ini adalah tempoh paling kritikal kerana saya perlu menyiapkan jurnal akhir. “Pada masa sama album sulung juga baharu dilancarkan, jadi saya kena fokus terhadap dua perkara ini selain kerja pengacaraan yang tidak memerlukan masa panjang. “Saya pun ada diajukan beberapa tawaran termasuk program travelog untuk RTM, tetapi penggambaran dibuat di luar negara yang perlukan saya pertimbangkannya.
“Bagi lakonan pula, kebelakangan ini saya terpaksa tolak pelawaan pegang watak utama tetapi, setakat karakter pembantu mungkin saya ambil. Rindu sebenarnya, tengok lepas Ogos nanti,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selebriti berusia 28 tahun itu ditemui pada majlis berbuka puasa bersama lebih 50 anak-anak tahfiz Pusat Kebajikan Baitul Ulfah, Seri Kembangan sempena Program Ramadan Kongsi Rasa Chicken Royale. Kata penyanyi merangkap komposer itu, sepanjang bulan puasa tahun kali ini dia cuba mempertahankan rentak bagi memberi tumpuan terhadap keluarga selain terbabit dalam program kemasyarakatan. “Dalam kesibukan kita jangan lupakan insan memerlukan seperti penghuni rumah ini, jadi saya minta Bonda aturkan jadual supaya kami dapat sertai majlis sebegini selain dapat terawih sekeluarga. “Jadi apabila ada majlis berbuka puasa seperti dengan Chicken Royale ini, saya tak mahu melepaskan peluang untuk menyantuni adik-adik kecil ini. Kami akan datang lagi. “Melihat senyuman anak-anak ini menjamah juadah berbuka dengan berselera dalam dulang hasil air tangan chef restoran tersebut membuatkan kita turut teruja,” kongsi mengenai acara yang turut disertai Malaysian Relief Agency (MRA) itu.
Menyentuh mengenai penjualan album sulung, hos program Getaran Jiwa itu bersyukur apabila buah tangan yang dirakamkan di Studio Abbey Road London terus meraih sambutan. “Alhamdulillah sehingga hari ini album yang saya nantikan hampir sedekad sudah terjual lebih 1,000 salinan dengan anggaran 20 hingga 30 unit jualan sehari. “Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan selepas ini saya merancang mengadakan ‘showcase’ pada hujung tahun ini,” katanya. –CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|