Orang ramai yang selesa membuat pembelian secara online yang lebih murah dan mudah dalam membuat persiapan raya mengakibatkan sebahagian peniaga bazar Aidilfitri menanggung kerugian teruk.
Persaingan hebat itu menjejaskan periuk nasi peniaga bazar yang rata-rata mengeluh apabila barangan yang dijual tidak laku sekali gus menjadikan hasil jualan tidak mampu menampung kos untuk membayar sewa bazar dan gaji pekerja. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), pelanggan ramai berkunjung ke bazar Aidilfitri, namun mereka hanya lalu tanpa membeli-belah. Seorang peniaga baju Melayu, Nor Hayati Muhamad, 55, berkata, jualan tahun ini adalah yang paling teruk dalam sejarah sejak 20 tahun dia berniaga di Jalan TAR, di mana perniagaan masih suram walaupun sudah memasuki hari-hari terakhir Ramadan.
“Saya tak pasti sebabnya, nak kata orang tiada, ramai sahaja datang ke Jalan TAR, tetapi mereka hanya lalu, tidak membeli. “Kami cuba turunkan harga, namun masih tidak dapat pikat hati pembeli. Kami tertekan kerana tidak mampu untuk membayar sewa tapak RM3,000 dan kos-kos lain apabila keuntungan terjejas teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo!. Peniaga baju kurung tradisional dikenali sebagai Aing, 65, pula pelik kerana tiada pelanggan sudi membeli walaupun harga diturunkan sehingga RM100 sepasang. “Nak kata baju tak cantik pun bukan, tak banyak pilihan pun tidak, tetapi memang tiada pelanggan yang singgah. “Sewa tapak bazar mahal, untung pula nak dapat RM200 sehari pun susah,” ujarnya. Aing percaya trend peniaga di media sosial yang semakin ramai selepas Covid-19 menambahkan lagi persaingan dengan peniaga ‘tradisional’ sepertinya. “Kami perlu membayar banyak benda seperti sewa, pekerja dan pengangkutan yang membuatkan harga menjadi lebih tinggi berbanding jualan online. “Bagaimanapun, kebaikan berniaga secara fizikal adalah pelanggan lebih mudah membuat pilihan, merasa sendiri jenis kain, pilih saiz dan sebagainya,” kata Aing. Di George Town pula, majoriti peniaga menjangkakan mereka terpaksa melelong barangan mereka di penghujung Ramadan. Penjual tudung dan aksesori wanita, Halimah Abdul Razak, 42, berkata, kuasa membeli menyusut teruk kerana orang ramai lebih suka mencuci mata sahaja. “Mereka juga lebih suka membeli kelengkapan raya secara online dan datang ke sini hanya untuk belek-belek dan tanya harga,” ujarnya. Halimah juga percaya ramai yang selesa membuat pembelian secara online kerana banyak pilihan dan tidak perlu bersesak-sesak, malah harga jauh lebih rendah berbanding ‘walk in’. Penjual kasut terpakai, Ammar Hasmadi, 37, pula memberitahu, dia terpaksa bersaing dengan beberapa penjual kasut lain yang begitu ramai terutama peniaga online sejak tahun lalu. “Tahun lepas ramai dapat duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi tahun ini amat terasa, mungkin orang tiada duit untuk berbelanja atau mengambil langkah berjimat cermat,” katanya. Manakala di Shah Alam, konsep jualan secara langsung khususnya menerusi pelbagai platform media sosial terutama TikTok memberikan kesan kepada peniaga bazar Aidilfitri. Peniaga TikTok dikatakan mampu menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding peniaga fizikal kerana mereka tidak perlu membayar sewa tapak dan gaji ramai pekerja. Perkara itu diakui sendiri seorang pekerja di booth baju kurung moden, Erna Mariana Ali, 29, yang memaklumkan, jualan merosot termasuk pada hujung minggu dan hanya meraih RM5,000 berbanding RM20,000 sebelum ini. Katanya, situasi itu menyebabkan pekerja kadangkala terpaksa ‘merayu-rayu’ agar pengunjung membeli pakaian di booth mereka. “Ini semua disebabkan orang membeli secara online kerana harga lebih murah. Hujung minggu hendak cecah RM5,000 pun susah kerana ramai suka lihat sahaja. “Kita sewa tapak sahaja RM18,000 berbanding media sosial adalah percuma. Hendak lawan harga dengan mereka amat sukar,” katanya. Penjual biskut raya, Muhamad Shahzwan Mukhidzir, 26, mengakui jualannya turut merosot sehingga RM500 setiap hari. Dia hanya mampu menjual sekitar 10 bekas biskut raya setiap hari berbanding 100 bekas pada tahun 2019. Sumber: Kosmo
|
kitaserupaaa replied at 13-4-2023 10:46 AM
Ingatkan peniaga yg ade kedai fizikal pun jual online juga. Manfaatkan dua2 platform sebab preferenc ...
ADVERTISEMENT