Dua Orang Kena Tahan (OKT) warga Indonesia dalam buruan polis selepas melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Tangkak, semalam. Harian Metro melaporkan, Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40 tahun melarikan diri ketika dalam perjalanan di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, berhampiran Jambatan Kerata Api sekitar jam 11.20 pagi.
Difahamkan, sebelum kejadian, empat OKT warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi jam 8 pagi dan dituduh mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63. Mahkamah memutuskan mereka dipenjara enam bulan. Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan kejadian berkata, kesemua OKT itu ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah masuk ke Malaysia. "Lebih kurang 11.20 pagi, tiga anggota APMM ditugaskan membawa empat OKT dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang selepas selesai pertuduhan.
"Ketika dalam perjalanan, dua daripada OKT terbabit berjaya membuka gari berantai lalu membuka pintu belakang van, kemudian melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Raya di Jakan Felda Inas menghala ke Sengkang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, unit pengesan anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang membantu mengesan kedua-dua suspek di tempat kejadian. "Op Tutup dijalankan dan pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dikerah bagi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek. "Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. Polis meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek untuk menghubungi Bilik Gerakan Daerah Kulai di talian 07- 6637222," katanya. Sebelum ini, tular video pendek berdurasi 26 saat memaparkan beberapa anggota polis berada di tepi Jalan Sengkang dalam usaha mencari kedua-dua suspek. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT