Ada segelintir individu bergelar penuntut mengeluh kerana tidak layak memohon bantuan seperti yang diumumkan kerajaan di dalam Belanjawan 2023. Pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Sharipah Syazwanie Syd Roselan, 25, berkata, ia seperti tidak adil bagi pelajar yang melebihi umur kategori.
Ini kerana mereka yang berumur antara 18 hingga 20 tahun saja yang layak manakala individu berusia 21 hingga 23 tahun tidak layak memohon. "Saya penerima PTPTN tetapi jumlah itu masih tidak mencukupi kerana kos sara hidup di Shah Alam agak tinggi. Selain itu saya juga perlu membeli barang keperluan dan pelajaran saya. "Saya juga tidak layak menerima apa-apa bantuan dari kerajaan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan Sumbangan Tunai Rahman (STR) disebabkan status saya sebagai pelajar," katanya. Turut memberi pandangan sama ialah pelajar Fakulti Sains Gunaan, Anis Syafiqah Norhisham, 22, yang meminta kerajaan meneliti semula syarat dan kategori pemohon.
"Saya berharap kerajaan melihat isu ini dengan teliti berkenaan had umur disebabkan terdapat juga mereka yang melebihi lingkungan umur berkenaan," katanya. Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan e-Dompet akan diperluaskan kepada semua mahasiswa di negara ini. Sumber: HARIAN METRO
|
ADVERTISEMENT