CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

Album Ke-10 Jadi Produk Terakhir Hujan

8-4-2023 04:04 PM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 480| Komen: 0|Original author: Tatod

Sasar 10 album sahaja.

Kugiran rock Hujan tidak merancang meluncurkan album baharu selepas sambutan ulang tahun ke-20 band itu, dua tahun lagi.

Sudah memiliki sembilan album, gitaris kumpulan itu yang dikenali sebagai AG, berpendapat 10 album sudah memadai buat kumpulan yang mula bertapak sebagai kumpulan indie sejak 2005.



"Kami memiliki terlalu banyak 'repertoire' (senarai lagu). Baru-baru ini, saya bersembang dengan Noh (vokalis Hujan) mengenai projek album ke-10.

"Hasil daripada perbincangan itu, kami bersetuju mungkin ia akan menjadi album terakhir kami.

"Bagaimanapun, kami tetap aktif menyanyi seperti biasa. Album itu akan menjadi salah satu katalog muzik kerana bagi kami, tidak logik untuk menerbitkan terlalu banyak album," katanya.

AG atau nama sebenar, Mohd Hezri Mohd Hafidz berkata, biarpun tanpa album baharu, Hujan memiliki banyak lagu hingga ada kala buntu memilih dendangan yang hendak dibawa dalam persembahan.


"Setiap kali mengadakan persembahan, kami pening memilih lagu untuk dibawakan. Peminat Hujan terbahagi kepada beberapa pecahan generasi.

"Contohnya, pada sambutan ulang tahun ke-10 kami, menjadi sesuatu yang agak mencabar untuk memilih 40 buah lagu bagi dipersembahkan dalam tempoh tiga jam.

"Peminat Hujan merangkumi beberapa generasi, jadi, kami harus puaskan hati setiap peminat.

"Justeru, kami perlu menyanyikan lagu untuk setiap generasi menyokong Hujan supaya persembahan kami seimbang," katanya.

Berkongsi mengenai projek pembikinan album ke-10 Hujan, AG berkata, mereka akan 'all out' (buat sehabis baik) daripada semua sudut. Ini bagi memastikan album terakhir itu bakal memahat kenangan terindah buat peminat.


"Mungkin semua anggota Hujan akan duduk bersama menulis lagu dan berkongsi idea untuk album terakhir kami.

"Kami akan berhabis dari semua sudut dan keluar daripada zon selesa yang mana album itu mungkin akan dirakam di studio yang berbeza daripada album terdahulu," kata pada sidang media konsert Jiwa Kacau di ibu negara, baru-baru ini.

Biarpun AG kini menetap di United Kingdom (UK), namun, dia tiada masalah untuk merencanakan pembikinan album itu. Sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, Hujan memanfaatkan penggunaan teknologi untuk berkomunikasi.

"Sejak pandemik COVID-19, kami banyak berkomunikasi dalam talian. Jadi, tiada masalah buat kami untuk berbincang mengenai pembikinan album ini biarpun saya berada di UK.

"Cuma perbezaan waktu yang menjadi sedikit masalah. Ketika saya tidur, bertalu-talu mesej yang masuk. Namun, ia bukan masalah besar," katanya.

Selain AG dan Noh, Hujan dibarisi Azham Ahmad yang bermain dram dan Izzat Uzaini (bes).

Konsert Jiwa Kacau bakal dijayakan Hujan, Bunkface, Insomniacks dan Kugiran Masdo di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 17 Jun depan.


Sumber: BH ONLINE


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-10-2024 08:30 PM GMT+8 , Processed in 0.082416 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top