Malang tidak berbau.
Begitulah nasib menimpa seorang wanita dikenali sebagai Sarah, 29, apabila dia cedera selepas dikejar dua ekor anjing liar di Ampang, Selangor, pada Jumaat petang.
Ketika dihubungi mStar, Sarah berkata dia dikejar dua anjing berkenaan ketika sedang berjalan kaki dari tempat letak kereta untuk naik ke blok kediamannya.
"Saya menetap di apartment kos rendah. Ada lot parking terbuka di kawasan depan dan belakang. Dalam bulan puasa ni, agak susah untuk dapat parking di kawasan depan sebab ramai orang balik nak berbuka.
"Jadi saya letakkan kereta di lot belakang rumah selepas pulang dari pejabat. Saya park macam biasa. Walaupun tak sedap hati, saya tetap keluar, kunci kereta dan berjalan macam biasa.
"Tiba-tiba saya nampak dua ekor anjing. Saya pandang anjing, anjing pun pandang saya. Lepas tu saya lari, anjing terus kejar. Saya lari macam orang tak cukup tanah," ujarnya memulakan cerita.
Menurut Sarah, dia yang terjatuh ketika sedang melarikan diri mengalami kecederaan pada bahagian muka, kaki dan tangan.
Namun, Sarah bersyukur kerana dibantu seorang individu, sekali gus mengelakkannya daripada digigit oleh dua ekor anjing berkenaan.
"Sebelum ini saya pernah kena kejar, tapi sempat masuk blok. Kali ini, jarak saya masih jauh dengan blok. Saya jatuh ketika lari, tersembam atas jalan tar.