Masjid berkenaan berfungsi sebagai tempat berkumpul masyarakat Islam yang semakin berkembang sehingga 1970-an.
Pertambahan jumlah masyarakat Islam di kawasan itu menyebabkan bilangan jemaah bertambah sebelum masjid lebih besar dibina di lokasi lain di Cedar Rapids. Bangunan asal itu kemudian dijual.
Pada 1970-an dan 1980-an, bangunan itu menjadi pusat pelarian bagi warga Kemboja yang melarikan diri dari rejim Khmer Rouge dan kemudian dijadikan gereja Pentecostal, sebelum keadaannya menjadi daif.
Ia menyebabkan Imam Taha Tawil mengumpulkan komuniti Muslim untuk membeli semula bangunan itu menjadikannya semula sebagai masjid.
Tawil berkata, bangunan masjid berkenaan sangat sederhana kerana penduduk di kawasan itu tiada kemahiran seni untuk membina struktur berhias.
Beliau berkata, masyarakat Islam tetap di kawasan itu terdiri daripada penjaja dan pekerja ladang.
Katanya, masjid itu mempunyai dua tingkat dengan tingkat utama adalah ruang solat manakala kawasan kecil di belakang adalah tempat wuduk selain terdapat tangga sempit menghala ruang bawah tanah yang mana terdapat dapur, bilik mandi dan ruang tempat duduk utama untuk komuniti berkumpul.
Masjid berkenaan masih sama dengan bangunan yang dibina bapa Aossey hampir 90 tahun lalu.
Tawil yang berasal dari Baitulmaqdis berkata, beliau mendapat inspirasi membina semula masjid berkenaan sejak zaman kanak-kanaknya.
"Saya memikirkan sejarah dan generasi akan datang. Saya fikir kita perlu memelihara bangunan ini dan mengekalkannya," katanya.
Meskipun bandar Cedar Rapids menyokong masyarakat Islam yang kini berjumlah ribuan orang, masjid itu mengharungi tindak balas Islamofobia selepas serangan 11 September 2001 dan baru-baru ini, ketika Donald Trump menjadi presiden.
Beliau percaya masjid yang berdiri hampir satu abad itu adalah bukti hubungan mendalam umat Islam dan AS.
"Bangunan ini adalah entiti dan institusi Amerika. Kita perlu mengekalkannya supaya orang lain tidak boleh 'menghalau' mereka kembali ke negara asal. Ini negara kami dan bangunan ini bukti asal nenek moyang kami," katanya.