Khemah didirikan pemburu haram.
Semakin ramai 'toyol rimba' atau pemburu haram warga Kemboja dikesan menyusup masuk ke hutan negara ini untuk mencuri khazanah negara bernilai jutaan ringgit.
Mereka yang bergerak persis tentera gerila mampu hidup berbulan lamanya di dalam hutan dengan hanya berbekalkan parang, kotak mancis dan kanvas.
Matlamat mereka adalah mencari spesies hidupan liar jarang ditemui selain mendapatkan pokok gaharu berharga untuk diseludup keluar dari negara ini.
Dalam kes terbaharu Selasa lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) berjaya melumpuhkan kegiatan sekumpulan pemburu haram di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera, Pahang.
Jurucakap Perhilitan berkata, kejayaan itu hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dibantu anggota Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Negeri Pahang dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7.
Menurutnya, dalam operasi itu seorang lelaki warga Kemboja diberkas di dalam hutan berkenaan.