Pelakon drama popular Hati Yang Dikhianati, Mona Allen berkata, kehidupannya kini beroleh nikmat anugerah terindah dengan kelahiran cahaya mata sulung, Petra Pekin.
"Bagi saya sepanjang perkahwinan itu adalah anugerah terindah. Kami berkahwin lebih tiga tahun, maksudnya tahun ini masuk empat tahun.
"Kira tiga tahun lebih barulah saya mengandung dan dapat anak. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan oleh kami berdua.
"Setakat ini alhamdulillah karier saya masih berjalan dengan baik. Lepas bersalin dan semasa dalam pantang pun masih ada juga tawaran daripada penerbit yang nak saya berlakon," katanya.
Memikirkan tanggungjawab sebagai ibu serta tumpuan kepada Petra yang sedang membesar, Mona mengetepikan tawaran ini buat sementara waktu.
"Saya betul-betul sibuk menguruskan Petra yang kini usianya dah masuk tujuh bulan. Jadi, saya berehat sekejap daripada lakonan.
"Insya-Allah kalau masih diterima selepas ini, saya tetap sambung berlakon macam biasa. Rasanya saya masih boleh bawa watak seperti sebelum ini.
"Cuma sebagai seorang ibu mungkin saya rasa berlainan sedikit untuk berlakon watak gedik dan tidak lagi terima. Untuk watak yang biasa okey saja. Kalau yang tak sesuai, saya tak ambillah," katanya.
Mengikuti perkembangan kariernya sebelum ini, Mona banyak terbabit dengan drama bersiri.
Menurutnya, ketika itu dia tidak mempunyai banyak komitmen selain hanya menjadi seorang isteri.
"Pekin pun sibuk dengan kariernya. Itu sebabnya saya suka berlakon drama bersiri yang tempoh pengambaran agak panjang. Memang sentiasa sibukkan diri.
"Berbanding telefilem selalunya shooting seminggu hingga 10 hari saja. Jadi saya suka drama bersiri kerana penggambaran panjang, selain suasana jumpa orang yang sama.
"Saya belum mempunyai pencapaian terbaik dalam lakonan. Maksudnya masih lagi mencari-cari. Tak dapat lagi drama yang saya rasa betul-betul orang nampak.
"Alhamdulillah juga...saya tetap dikenali. Pergi mana masih lagi orang tahu dan menegur," katanya.
Sumber: HARIAN METRO