GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyesuaikan cadangan vaksinasi Covid-19 untuk fasa baharu wabak itu. Fasa baharu menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja yang sihat mungkin tidak memerlukan suntikan berkenaan, tetapi kumpulan yang lebih tua dan berisiko tinggi harus mendapat penggalak antara enam hingga 12 bulan selepas mereka mendapat vaksin terakhir.
Lapor Channel News Asia, agensi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, matlamatnya kini adalah untuk menumpukan usaha untuk memvaksinasi mereka yang menghadapi ancaman penyakit teruk dan kematian terbesar akibat Covid-19. Agensi kesihatan itu mentakrifkan populasi berisiko tinggi sebagai orang dewasa yang lebih tua serta orang yang lebih muda dengan faktor risiko yang lain. Bagi kumpulan ini, agensi itu mengesyorkan suntikan tambahan vaksin sama ada enam atau 12 bulan selepas dos terkini, berdasarkan faktor seperti umur dan keadaan yang menjejaskan imun.
Sementara itu, WHO berkata, kanak-kanak dan remaja yang sihat adalah keutamaan rendah untuk vaksinasi Covid-19 dan menggesa setiap negara untuk mempertimbangkan faktor seperti beban penyakit sebelum mengesyorkan vaksinasi kepada kumpulan ini. Ia berkata, vaksin dan penggalak Covid-19 selamat untuk semua peringkat umur, tetapi cadangan itu mengambil kira faktor lain seperti keberkesanan kos. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT