Aziz Harun, 25, nak menyambung pengajian ke peringkat Sarjana selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan dari University of East Anglia, United Kingdom (UK), dua tahun lalu.
Aziz kata dia memang suka belajar dan bukan sebab diminta keluarga. "Waktu buat ijazah pun memang saya sendiri yang nak. Bukan kena suruh oleh ibu bapa atau apa. Sebab itu memang impian saya untuk memiliki ijazah. Saya suka belajar ekonomi. "Sekarang master (sarjana) pun nak juga sebab saya rasa alang-alang sudah belajar sampai ijazah, takkan tak sambung. Ia lebih kepada keinginan itu.
"Bukannya beriya-iya nak pakai kelulusan itu untuk tujuan tertentu. Mungkin saya memang seorang yang suka belajar dan bergaul dengan kelompok lain (luar industri hiburan)," katanya. Penyanyi yang baharu melancarkan lagu berjudul Jarak bersama Aisha Retno itu mengakui dia suka memperluas perspektif pergaulannya kerana tidak ingin terperuk dalam radar industri hiburan saja.
"Kalau dalam industri banyak cakap pasal muzik saja. Tapi apabila bergaul golongan pelajar tanpa ada kena-mengena pasal muzik, saya rasa seronok. "Saya anggap ia macam 'melarikan diri' daripada bidang kerjalah. Harapnya kalau saya mampu kendalikan sebaiknya masa kerja dan muzik, saya akan buat. Tapi itulah, 'master kalau ada kena buat kajian, bukan mudah," katanya.
Pada 2021 lalu, Aziz berjaya menamatkan pengajiannya di UK dan lega menggenggam ijazah diimpikan itu. Dia memperoleh keputusan akhir pada tahap Kelas Kedua Atas. Terdahulu, penyanyi kelahiran Brunei itu membuat keputusan mengejut menarik diri daripada pertandingan Big Stage 2019 pada minggu ketiga. Ia selepas dia mendapat tawaran menyambung pengajian ke UK. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|