Penerokaan pasaran luar negara dilihat langkah tepat dan berani perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini untuk membawa produk makanan tempatan ke peringkat global. Usaha itu bukan sahaja mampu memperkenalkan jenama tempatan di seluruh dunia, malah akan meletakkan nama Malaysia sebagai pengeluar utama produk makanan halal.
Bagaimanapun, usaha itu dilihat sedikit terganggu dengan kesilapan terjemahan bahasa Melayu ke bahasa Arab pada produk makanan yang dihasilkan usahawan PKS. Perkara itu disahkan pensyarah kanan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Hussin yang menjalankan penelitian berhubung kesilapan terjemahan pada beberapa produk.
Beliau berkata, kesilapan itu dikhuatiri boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai hab produk makanan halal, khususnya dalam kalangan negara-negara Arab. Katanya, hasil penelitiannya mendapati ada pelbagai versi terjemahan dengan sebahagiannya tidak tepat dengan kaedah bahasa Arab. "Ini menunjukkan bahawa adanya jurang pemisah antara pengeluar PKS dengan korpus terjemahan bahasa Arab yang tuntas sebagai rujukan. "Apa yang diperhatikan misalnya terdapat dua perkataan yang diguna secara salah dari sudut leksikal (makna sesuatu kata) apabila perkataan dengan pola yang tidak tepat digunakan," katanya kepada BH. Sebagai contoh, katanya, pada label bungkusan biskut jagung terdapat pernyataan `iḥtafiẓ fī al-makān al-barīd wa al-jafāf/ dengan maksud yang dikehendaki ialah simpan di tempat dingin dan kering. "Perkataan /al-barīd/ bermaksud pejabat pos, manakala perkataan /al-jafāf/ pula bermaksud kemarau. "Perkataan yang seharusnya digunakan dalam konteks ayat berkenaan ialah /al-bārid/ yang bermaksud dingin dan /al-jaff/ yang bermaksud kering," katanya. Katanya, frasa biskut jagung pula diterjemahkan sebagai `al-baskawit al-dhurri' dengan menggunakan frasa adjektif. "Sedangkan terjemahan yang sepadan untuk frasa itu ialah `baskawit al-dhurrah' dengan menggunakan frasa nama yang terdiri daripada kata inti dan penerang. "Terdapat juga elemen terjemahan literal yang meragukan contohnya frasa Sup Ayam Utara diterjemahkan secara salah sebagai `shurbah al-dajāj al-shamāliyyah'," katanya. Beliau menjelaskan, terjemahan itu adalah terjemahan dalam konteks budaya yang diterjemah secara literal dan tidak sepadan serta tidak memberikan makna sebenar kepada pengguna berbahasa Arab. "Kesilapan ini berlaku kerana mungkin pihak pengusaha yang menyediakan label berbahasa Arab itu melakukannya atas inisiatif sendiri. "Mereka tidak merujuk kepada pakar yang sepatutnya dalam proses penyediaan terjemahan itu atau melakukan terjemahan dengan bantuan mesin tanpa merujuk kepada pakar untuk menilai semula kualiti terjemahan," katanya. Katanya, sepanjang pengetahuannya tiada pihak yang bertanggungjawab untuk memantau terjemahan itu kerana ia adalah inisiatif pengusaha tempatan untuk mengeluarkan produk dengan label berbahasa Arab. Malah, katanya, tiada syarat yang memerlukan sesuatu produk dilabelkan dengan label berbahasa Arab untuk pasaran tempatan. "Jika produk itu sudah diedarkan di pasaran, tiada pihak berwajib yang dikhaskan untuk meneliti terjemahan bahasa Arab pada label itu, melainkan pengguna yang prihatin. "Tetapi untuk pasaran Timur Tengah, kebanyakan negara meletakkan syarat harus ada disediakan label berbahasa Arab, sebab itu pengusaha menggunakan inisiatif sendiri," katanya. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak yang ada kaitan dengan pengusaha PKS tempatan seperti Lembaga Pasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta agensi yang berkaitan dengan pasaran produk tempatan ke pasaran Timur Tengah seharusnya berperanan memastikan kualiti label berbahasa Arab menepati piawaian. "Ini kerana produk tempatan turut membawa imej Malaysia sebagai penyedia hab halal terbesar dunia," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT