Lelaki Singapura berputih mata apabila rantai emasnya bernilai RM3,700 hilang selepas dipeluk seorang transgender di Bangkok, Thailand. Disangka pelukan keramahan dari warga tempatan, rupa-rupanya suspek mengambil kesempatan untuk menyamun rantai emasnya.
Dia bernasib baik apabila berjaya mendapatkan semula rantai emasnya sebelum membuat laporan polis terhadap suspek. Menurut kenyataan polis menerusi hantaran di Facebook Polis Lumphini, kejadian berlaku pada 8 Mac lalu, kira-kira jam 12.30 pagi waktu tempatan di sekitar Stesen Keretapi Asok, Bangkok. Kata mangsa, Andy Koh Kuan Yong, 52, ketika kejadian dia sedang berjalan bersama rakan-rakannya di lokasi sebelum secara tiba-tiba didekati suspek yang memeluknya. Dalam kesempatan itu, suspek membuka rantai emas itu dan kemudian segera melarikan diri.
Rakan mangsa yang merupakan warga tempatan menyedari kejadian itu segera mengejar suspek dan menangkapnya sebelum dibawa ke balai untuk tindakan lanjut. Polis mendedahkan, suspek bernama Kinkon itu berusia 36 tahun, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan berasal dari Kemboja. Kinkon kini berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda RM13,000 jika disabitkan kesalahan. Sumber: KitaReporter |
ADVERTISEMENT