Mandi-manda di kawasan air terjun Tasik Puteri Bukit Besi bertukar tragedi apabila seorang pelajar tahfiz ditemui lemas selepas menyelamatkan rakannya. Mayat Almas Khan Alam Shah, 16, seorang warga Myanmar yang juga pelajar pusat tahfiz di Seremban, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama tujuh rakan yang belajar di pusat sama sambil mandi di situ, kira-kira jam 9 pagi. Menurutnya, seorang rakannya yang berusia 17 tahun lemas yang menyebabkan mangsa memberi pertolongan. "Mangsa berjaya menyelamatkan rakannya yang lemas dengan menolak rakannya itu ke tepi. Mangsa dikatakan dihanyutkan arus, sebelum tenggelam di dasar air terjun terbabit.
"Rakan mangsa cuba membantu namun gagal berikutan arus deras. Mereka menghubungi talian kecemasan," katanya. Baharudin berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah bergegas ke tempat kejadian. "Pasukan bomba menemui mayat mangsa kira-kira jam 9.20 pagi pada kedalaman dua meter. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun," katanya. Katanya, rakan mangsa yang berjaya diselamatkan itu dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil. Sumber: BH Online
|
riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ
Maksudnya : “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati dtimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)
ADVERTISEMENT