LONDON – Seorang duda yang digelar ‘lelaki paling kerap berkahwin di Britain’ mendedahkan bahawa zaman ‘romeo’ yang dilaluinya telah berakhir dan dia akan berpindah ke rumah penjagaan warga tua.
Menurut akhbar Daily Star, Ron Sheppard, 75, mendakwa bahawa kesihatannya merosot disebabkan oleh bekas-bekas isterinya. Dia meninggalkan pangsapurinya di Somerset, England untuk menjalani hidup baharu di rumah penjagaan orang tua yang terletak berdekatan dengan rumah keluarganya di Isle of Wight. Sheppard yang menghidap pelbagai penyakit termasuk Parkinson’s berkata, kesihatannya kini merosot. “Mungkin semua bekas isteri yang menyebabkan keadaan kesihatan saya menjadi seperti ini. Tekanan mental dan fizikal akibat perceraian membuatkan kesihatan saya merosot. “Namun, saya tidak menyesali mana-mana perkahwinan kerana saya mempunyai lapan orang anak,” kata Sheppard.
Sheppard mengahwini isteri pertamanya, Margaret pada tahun 1966. Pasangan itu memiliki tiga cahaya mata sebelum bercerai. Perkahwinan terakhir lelaki itu adalah bersama wanita bernama Weng pada 2004. Perkahwinan Sheppard yang paling lama bertahan adalah 13 tahun dan paling singkat hanya 10 bulan. Lelaki itu percaya bahawa dia dahulunya obses mencari pasangan hidup yang tepat disebabkan trauma yang dialami ketika zaman kanak-kanak. Ini kerana dia pernah menjadi mangsa keganasan seksual. “Ia meninggalkan pelbagai masalah kepada saya. Saya mahukan seseorang untuk menemani saya dan mencari ramai wanita (untuk dijadikan teman). Saya berasa selamat apabila ditemani ramai wanita,” ujarnya. Sheppard berkata, hidupnya kini berubah dengan ketara di mana dia duduk terkurung di dalam unit apartmennya dan kadang kala, keluar membeli-belah bersama penjaganya. “Saya banyak menghabiskan masa berada dalam kesakitan. Saya tidak boleh melakukan apa-apa kerana badan saya terketar-ketar,” katanya. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT