Tidak terus tenggelam dek masa silam, wanita muda yang buta sebelah matanya selepas berdepan serangan mengerikan dua tahun lalu, memulakan kerjaya sebagai model. Lapor Mirror UK, Alanna Quinn Idris, 18, mengalami kecederaan teruk di bahagian muka, pecah bola mata, patah tulang pipi dan patah beberapa batang gigi dalam serangan pada 30 Disember 2021 di Ballyfermot, Dublin.
Minggu ini, lelaki yang mencederakan Alanna, Darragh Lyons, 19, dijatuhi hukuman penjara selama empat setengah tahun selepas hakim menyifatkan perbuatannya itu sebagai serangan ganas yang melampau. Alanna mengkritik hukuman itu yang disifatkan terlalu ringan namun tidak mahu terlalu memikirkannya kerana sedang sibuk mempertimbangkan kerjaya di pentas peragaan sebaik keyakinan dirinya kembali pulih.
“Saya benar-benar suka dengan kerjaya ini. Saya sememangnya agak risau dengan rupa paras saya dan saya hampir tidak mampu berada di khalayak ramai selepas peristiwa hitam itu. “Tetapi apabila saya berjaya mengatasinya, saya ingin mencuba bidang peragaan. Saya hanya perlu membina semula keyakinan diri saya,” ujarnya. Alanna berkata, dia akan menjalani satu lagi pembedahan bulan depan dalam usaha untuk memulihkan sebahagian daripada soket matanya. “Pembedahan kali ini untuk membantu bahagian prostetik berada di kedudukan yang betul dan mengelakkan kawasan di sekelilingnya semakin mengecut. Saya sedang menunggu untuk mendapatkan pembedahan kornea mata,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT