Peniaga bingkai gambar didakwa memperdagang dua wanita warga Indonesia bagi maksud eksploitasi seks sejak November tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. Muhammad Soleh Abdullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas memperdagangkan dua wanita warga Indonesia berusia 28 dan 34 tahun bagi maksud eksploitasi seks. Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.50 malam di sebuah rumah di Taman Khaya 2, Bahau, Jempol antara November 2022 hingga 11 Mac lalu. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda. Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan. Selain itu, tertuduh juga diarah tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan sebutan semula kes ditetapkan 9 Mei ini. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT