Jualan makanan untuk juadah berbuka puasa menjadi antara bisnes yang cukup laris dan menguntungkan di Bulan Ramadan. Namun berbeza dengan Harith Hamzah Badarol Sam yang memilih untuk berniaga makanan ketika waktu bersahur.
Katanya idea untuk berniaga makanan pada awal pagi adalah bagi mengelakkan persaingan dengan peniaga lain. "Selain itu saya boleh mengawal penawaran dan permintaan. "Jalan pun lapang dan tak sesak dengan kereta lalu-lalang. Lancar sahaja proses nak berniaga tu," ujarnya ketika dihubungi mStar. Cerita Harith yang berniaga nasi berlauk, pada mulanya dia juga mahu membuka perniagaan dengan menyewa tapak bazar Ramadan tetapi niatnya terpaksa dibatalkan atas faktor kekangan modal. Bagaimanapun dia bersyukur kerana keputusannya untuk berniaga juadah sahur secara tidak langsung boleh meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli makanan mengenyangkan pada harga murah. Bermula hari kedua berpuasa iaitu pada 24 Mac lalu Harith menjual set nasi berlauk bersama sayur pada harga RM6 sebungkus di hadapan Shamelin Star Residence di Cheras, Kuala Lumpur. Perniagaan Harith mula beroperasi pada pukul 2 pagi dan dia mula menyediakan segala persiapan memasak pada pukul 10 malam. "Target market saya memang untuk pelajar-pelajar (Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM) disebabkan situasi ekonomi yang tak menentu sekarang ni. "Jadi saya kategorikan menu saya ni sebagai menu bujang. Pernah juga ada pelajar cakap apabila mereka membeli dengan saya, terasa macam makan dengan keluarga dekat rumah," katanya yang tersentuh dengan kisah tersebut. Setelah hampir seminggu berniaga, Harith bersyukur apabila jualannya mendapat sambutan memberangsangkan setiap hari. Kata anak jati Kuala Lumpur itu lagi, setiap hari dia akan menjual lauk berbeza supaya pelanggan tidak berasa bosan dengan menu sama. "Sehari saya akan buat 40 set nasi. Satu hari satu jenis lauk dan sayur-sayuran. Setakat saya berniaga ni Alhamdulillah semua makanan habis sebelum selesai waktu sahur. Selain kawan-kawan, keluarga pun banyak bantu promosikan bisnes saya. "Perniagaan ni dibantu oleh kakak dan kekasih saya. Ada juga kawan-kawan yang merupakan pelajar UPTM Cheras aktif buat COD (cash on delivery) makanan dekat kawasan kolej," ujarnya lagi. Bercerita lanjut, Harith yang merupakan seorang cef masakan barat berkata dia tidak meletakkan sasaran tinggi namun mengharapkan orang ramai menyukai masakannya. "Harapan saya tak banyak. Cuma berharap pelajar-pelajar dan orang ramai dapat menikmati variasi aneka nasi campur dengan harga yang berpatutan. "Secara jujur, saya tak ada target lagi sebab berniaga nasi campur ni pun masih baru bagi saya. Sebelum Ramadhan ni, saya berniaga menjual sandwich di sekitar TTDI (Taman Tun Dr Ismail). "Saya teruskan je dulu menjual dan apa yang Allah dah tentukan nanti saya akur dan syukur," katanya lagi. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT