Mengambil serius insiden menimpa pelakon kanak-kanak, Puteri Rafasya, 12, yang cedera ketika menjalani penggambaran drama Jaga Aku Selamanya di Beranang, Selangor, akhir bulan lalu, aktres jelita, Maya Karin mahu syarikat produksi lebih mengutamakan aspek keselamatan pelakon dan kru di lokasi.
Maya berpendapat antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah perlindungan insurans untuk tenaga kerja setiap kali penggambaran drama atau filem dilakukan.
"Maafkan kata-kata saya ini, namun, sejujurnya, pelakon berdepan risiko yang tinggi terutama di Malaysia. Saya lihat faktor keselamatan sering dipandang rendah.
"Disebabkan itu, sekarang, apabila saya menjayakan projek filem, saya pastikan syarikat produksi sediakan perlindungan insurans.
"Ini bermakna saya ada perlindungan insurans berganda di mana skim insurans sendiri dan daripada syarikat produksi.
"Saya harap industri kreatif akan pandang isu ini (keselamatan kru dan pelakon) lebih serius. Sebelum ini, saya difahamkan pernah ada seorang kru meninggal dunia selepas menjayakan adegan lasak," katanya mengulas insiden menimpa Puteri Rafasya yang juga pelakon gandingannya dalam filem Telaga Suriram.
Akhir bulan lalu, Puteri Rafasya dilaporkan mengalami kemalangan hingga menyebabkan tulang pinggul retak di lokasi penggambaran drama Jaga Aku Selamanya.
Berikutan insiden itu, Puteri Rafasya dilaporkan tidak mampu berjalan hingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur akibat masalah saraf.
Maya berkata, Puteri Rafasya rapat dengannya kerana mereka pernah berlakon dalam filem Telaga Suriram di mana Maya memegang watak ibu kepada kanak-kanak itu.
Tidak hairanlah, sebaik mendapat berita kemalangan menimpa Puteri Rafasya, Maya menjadi antara selebriti yang melawatnya di Wad Pediatrik HTA bagi memberi sokongan moral kepada kanak-kanak berusia 12 tahun itu.
"Saya tahu dia cedera melalui rakaman video memaparkan Puteri Rafasya menangis dan sukar berjalan. Tetapi, ketika itu, dia dalam keadaan kritikal, jadi, saya tidak mahu ganggu.
"Namun, saya berjanji melawatnya, malah, dia beberapa kali bertanya, bila saya mahu melawatnya. Dalam sibuk dengan majlis pelancaran minyak wangi, saya usahakan juga.
"Ketika bertemu, Puteri Rafasya masih memanggil saya ibu. Dia sangat gembira apabila saya datang melawat. Jadi, agak sedih melihat dirinya yang mengalami kecederaan teruk.
"Insiden itu memberi kesan kepada tulang belakang hingga menyukarkan dia berjalan. Disebabkan itu, Puteri Rafasya perlu jalani rawatan fisioterapi. Jadi, sama-sama kita doakan dia cepat sembuh," katanya ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi By Maya Karin di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, baru-baru ini.
Sumber: BH ONLINE
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My