Pelakon Zul Huzaimy belum menganggap suatu keperluan baginya mengupah pengawal peribadi ketika isu keselamatan selebriti di tempat tumpuan awam hangat diperkatakan rentetan kes teman seperjuangan, Kamal Adli dipukul dengan cota ketika hadir di sebuah ekspo di Singapura, baru-baru ini.
Sebaliknya, Zul yang bakal menjayakan festival keluarga terbesar, Stylo Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang menyasarkan kunjungan tiga juta orang, bulan depan, menyerahkan soal keselamatan kepada penganjur.
"Saya difahamkan penganjur Stylo Fest sediakan pengawal keselamatan yang cukup pada acara itu kelak," katanya yang akan menjual baju Melayu jenama Intan Berlian pada acara yang berlangsung 73 jam tanpa henti itu.
Mengulas insiden menimpa Kamal, Zul Huzaimy percaya penyerang terbabit mungkin kurang waras.
"Saya yakin serangan itu tiada kena-mengena dengan kisah lama atau isu peribadi. Sebaliknya, penyerang terbabit mungkin kurang 'sihat'.
"Maklumlah, sejak kebelakangan ini ramai kurang 'sihat'. Jadi, tidak mustahil kejadian seperti itu boleh berlaku," katanya.
Menyentuh kerjaya seni, pelakon berusia 44 tahun itu sedang menyiapkan tiga skrip untuk projek filem, drama televisyen (TV) dan radio.
Selain itu, Zul bertemu syarikat produksi MIG Pictures Sdn Bhd bagi membincangkan mengenai projek filem baharu yang masih berkisar dunia permotoran.
Cukup dikenali menerusi watak Spark dalam filem Mat Moto, Zul bagaimanapun bimbang keselamatan pelakon lagak ngeri tidak mendapat perlindungan sewajarnya. Ini berikutan tiada skim perlindungan insurans disediakan seperti syarikat produksi antarabangsa.
Namun, akui Zul, demi kelangsungan hidup, mereka terpaksa menerima tawaran biarpun berdepan pelbagai risiko kecederaan termasuk insiden meragut nyawa.
"Syarikat insurans tiada pelan perlindungan khusus untuk pelakon lagak ngeri. Kalau ada sekali pun, mungkin harganya sangat mahal di mana pelakon tidak mampu membayarnya.
"Kita faham tiada syarikat insurans yang sanggup mengambil risiko kerana kita sendiri yang cari 'penyakit'
"Cuma saya harap persatuan atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat buat sesuatu mengenai perkara ini.
"Jadi, kita perlukan pelakon lagak ngeri profesional. Selain itu, penggunaan teknik helah kamera juga penting. Namun, ada masanya, malang tidak berbau.
"Walau sudah berlatih berkali-kali jika perkara hendak terjadi, tiada siapa yang mampu mengawalnya," katanya.
Sumber: BH ONLINE
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My