Zamani bersyukur kini mampu menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini selepas tiga bulan menjalani pembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis pada November tahun lepas. Zamani atau Zamani Ibrahim, 52, berkata dia sudah tidak lagi menanggung sakit terutama jika duduk atau berdiri dalam tempoh masa yang lama.
Dia bagaimanapun masih tidak dapat melakukan beberapa aktiviti harian atas nasihat doktor bagi mengelakkan kecederaan di bahagian tulang belakangnya berulang. "Alhamdulillah saya dah semakin elok dan baik, rutin pun saya dah buat macam biasa. Cuma ada beberapa rutin harian yang masih saya tak boleh lakukan lagi macam saya tak boleh nak tunduk lagi. "Tapi paling ketara saya dah mampu berdiri dalam Alhamdulillah tak rasa sakit macam dulu. Saya pun sudah kembali banyak menerima persembahan pentas," katanya kepada mStar.
Zamani berkata dia masih lagi menjalani rawatan fisioterapi bagi memastikan fizikal dan tulang belakangnya lebih kuat dan stabil. "Saya masih lagi sedang jalani rawatan fisioterapi selama enam bulan. Sangat penting rawatan fisioterapi sebab saya ada masukkan besi, jadi nak beri dia serasi dengan tulang. "Saya ada lagi tiga bulan untuk rawatan fisioterapi. Tapi kalau rawatan doktor, dia cakap dah okay. Dua minggu lepas baru jumpa doktor dan semuanya baik-baik sahaja," katanya lagi.
|
ADVERTISEMENT