Wanita di United Kingdom (UK) hanya diarah membayar balik 1 pound sterling (kira-kira RM5) dan menjalani hukuman penjara 24 bulan selepas didapati bersalah menyalahgunakan wang 90,000 pound sterling (kira-kira RM482,089) daripada badan amal kanser dan berjoli untuk membeli-belah dan bercuti.
Harian Metro melaporkan, Paula Tribbeck, 48, bekas penyelaras kewangan di Wessex Cancer Trust, menyalahgunakan wang milik badan amal itu untuk menampung gaya hidup mewahnya. Kecurigaan timbul apabila akaun milik badan amal itu didapati masih aktif selepas menerima surat tuntutan bayaran untuk invois tertunggak sedangkan ia sepatutnya ditutup kerana masalah kewangan. Kegiatannya terbongkar pada 2019 apabila rakan sekerjanya memecah masuk ke pejabat dan menemui key fob atau token sekuriti yang digunakan untuk mengakses akaun bank milik badan amal berkenaan.
Difahamkan, Tribbeck, menangis ketika dijatuhi hukuman di Mahkamah Mahkota Southampton di Hampshire, baru-baru ini. Sementara itu, peguam belanya, Chris Gaiger memberitahu mahkamah yang Tribbeck sudah 'pokai' selepas membelanjakan semua wang berkenaan dan tidak mampu membayar balik denda dikenakan terhadapnya. Mahkamah diberitahu, dalam tempoh enam tahun sejumlah 93,800 pound sterling (kira-kira RM498,313) dipindahkan dari badan amal ke akaun peribadinya dengan hanya 2,300 pound sterling (kira-kira 123,000) yang pernah dibayar balik. - CARI
|
ADVERTISEMENT