Malang nasib seorang wanita apabila tergelincir lalu tergantung dan meninggal dunia serta-merta ketika berlakon bunuh diri. Wanita berusia 21 tahun itu ditemukan mati tergantung pada kain yang diikat pada bahagian pengudaraan di pintu di Kampung Cibeber, Leuwiliang, Bogor, Jawa Barat, 1 Mac lalu.
Ketua Polis Leuwiliang, Agus Supriyanto mengesahkan, wanita itu menyampaikan niatnya membuat kandungan lakonan bunuh diri sebelum memuat naiknya di media sosial kepada seorang rakannya ketika mereka bersembang dalam panggilan video. "Wanita itu yang bekerja sebagai pelayan kafeteria segera menunjukkan aksi gantung diri itu kepada rakannya itu. "Ketika itulah mangsa tergelincir dari kerusi yang dipijaknya hingga menyebabkannya tergantung," katanya kelmarin. Katanya, rakannya yang masih dalam panggilan video itu terkejut dan terus ke rumah mangsa bagi menyelamatkannya, namun sudah terlambat.
"Tetapi apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dilihat dalam keadaan tergantung pada seutas kain yang diikat di atas pengudaraan pintu. "Rakan mangsa itu terus melaporkan kejadian kepada polis," katanya dalam portal Kompas.com Mangsa dibawa untuk bedah siasat di Hospital Leuwilian dan hasilnya tiada tanda jenayah kekerasan berlaku pada anggota badan wanita itu. "Hasil pemeriksaan yang dilakukan, mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada bahagian lehernya," katanya. Katanya, jenazah mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya dan mereka reda dengan menganggap kematian wanita itu sebagai satu kemalangan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT