Nama pasangan penyanyi yang tiba-tiba meledak dek penangan populariti lagu Casablanca turut mencipta fenomena tersendiri merentas sempadan. Tidak hanya menjadi siulan di negara jiran, Indonesia, Casablanca turut diminati peminat di Asia Barat.
Tidak pernah Nuha Bahrin, 22, atau Naufal Azrin, 23, terfikir menerima sambutan begitu menggalakkan sehingga pasangan duet itu turut diintai produksi negara seberang. Lagu yang sudah mencecah 26 juta pendengar di YouTube itu memberi rezeki tidak disangka-sangka buat mereka. Pencapaian yang diraih memberikan mereka peluang untuk mengecap nikmat populariti. Apatah lagi, Casablanca yang dicipta Daqmie, manakala lirik Abdul Karim Al Ali mencipta sejarah sebagai lagu tempatan pertama menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia. Lagu itu juga menempa kedudukan teratas di aplikasi JOOX Malay Hits dan tempat kedua di Apple Music Top 100.
Namun, tidak sampai setahun, fenomena itu bagaikan terhenti seketika sehingga ada melabelkan mereka sebagai artis one-hit wonder. Lagu yang pernah panas menggelegak, kini suhunya semakin suam. “Itu adalah rezeki. Apa yang kita dapat seperti viral adalah tuah. Kalau orang cakap kami artis one-hit wonder, tidak mengapa. Untuk pengetahuan, kami tidak pernah berhenti berkarya. “Selepas viral, kami ada banyak projek yang sedang diusahakan dan hanya menanti masa untuk diperkenalkan,” kata Nuha. Nuha atau nama penuhnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin berkata, kuasa tular juga sebenarnya membuka banyak pintu rezeki dan peluang buat mereka yang masih bertatih dalam industri muzik. Baginya, dia tidak mahu terlalu mengambil kisah dengan pandangan orang kerana masing-masing berhak berkata apa sahaja. “Jujurnya, kami tidak pernah letak sasaran untuk viral. Setiap apa yang kami lakukan sasarannya adalah ingin berjaya. Kalau dapat ulangi rezeki seperti itu, kami cukup gembira. Kalau tidak, kami okey sahaja,” ujarnya. Bagi Naufal yang pernah menganggotai kumpulan Zayne, dia mengakui, banyak perubahan dirasai selepas lagu Casablanca mencipta fenomena. Daripada individu yang tidak dikenali, katanya, kini pelbagai gelaran mencuit hati diterimanya. “Nama saya mungkin tidak begitu dikenali, tetapi apabila berjumpa di luar ada yang panggil saya ‘abang denyut’. “Baik dan buruk memang ada. Apa yang penting, kita harungi dengan tenang, santai dan terima seadanya. Setiap pekerjaan yang dilakukan, saya tidak lupa meletakkan tawakal pada Yang Maha Esa,” kongsinya. Sumber: Utusan
|
azimodin: Iouls stress kalau dengar lagu ...
azimodin replied at 2-3-2023 08:15 AM
Iouls stress kalau dengar lagu Jila versi dorang ni. Sebutan meneran macam sembelit 4 hari.
ADVERTISEMENT