|
Menggalas tanggungjawab memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam filem Anwar, The Untold Story, Farid Kamil menceritakan dia mengambil masa sebulan untuk mempelajari cara mengangkat tangan seperti yang dilakukan Perdana Menteri itu ketika ditahan pada 1998.
Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 42, berkata, persiapan tersebut dilakukan sebaik mungkin sebelum dia berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk penggambaran. Jelas pengarah filem itu, dia juga berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri sebanyak tiga kali sebelum Parlimen dibubarkan bagi memahami situasi sebenar yang berlaku terhadap Anwar. "Sebelum berangkat ke Jakarta, saya hanya berlatih bagaimana kedudukan tangan Anwar dan lebih kurang satu bulan berlatih untuk mengangkat tangan seperti yang kita tengok di dalam poster tersebut. "Setiap pergerakan yang dilakukan ketika itu adalah persoalan yang bermain di fikiran setiap rakyat Malaysia pada tahun 1998? Kenapa mata bekas Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) lebam? Apakah di sebalik kejadian dan benarkah berlaku kejadian seumpamanya?" katanya ketika majlis pelancaran filem tersebut di sebuah hotel di ibu kota pada Rabu.
Bagi memastikan karakter Anwar dihayati sebaik mungkin, pelakon filem Anak Halal itu berkata, dia meneliti laporan perubatan Perdana Menteri yang didakwa ditumbuk ketika berada di dalam tahanan. Farid menambah, filem Anwar, The Untold Story juga disifatkan sangat berbeza dengan 66 filem yang dilakonkannya sebelum ini. Anak kelahiran Kedah itu berkata, pengalaman yang menimpanya lima tahun lalu memudahkannya menjayakan watak Ahli Parlimen Tambun itu. "Ia seperti pembunuhan karakter yang mana digunakan hanya untuk tujuan politik bagi membunuh keperibadian seseorang dan ia turut terjadi kepada saya lima tahun lepas. "Apabila saya membaca skrip, sudah tentu ia sangat dekat dengan apa yang berlaku, di samping saya adalah calon yang pernah menolak rasuah satu ketika dulu," ujarnya.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
23-2-2026 10:53 AM GMT+8 , Processed in 0.110653 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.