Ebby Yus mendedahkan keadaan kesihatannya yang semakin menurun. Kata pelakon dan pelawak itu, kekuatan jantungnya kini sangat lemah iaitu sekitar 27 peratus saja. “Baru-baru ini doktor keluarkan air yang telah memasuki paru-paru dan jantung saya. Justeru, doktor mengingatkan saya kalau keadaan memaksa, dialisis adalah pilihan terakhir yang perlu dibuat.
“Begitu juga dengan jantung saya hanya ada kekuatan 27 peratus sahaja,” katanya. Ebby yang mengalami masalah jantung dan buah pinggang juga dikesan mengalami masahal saraf dan prostat. Justeru, sepanjang seminggu di HKL, ada beberapa hari Ebby dipantau di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu. “Sebelum masuk HKL, tubuh saya terlalu lemah sehingga tidak mampu berjalan dan saya juga sesak nafas sehingga terpaksa meminta kawan segera menghantar saya ke HKL.
“Selama di HKL, doktor tebuk keluarkan air dan saya dirawat dalam ICU,” jelasnya. Walaupun tahap kesihatan tidak seperti orang normal yang memerlukan rawatan dan pemerhatian berterusan, Ebby tidak pernah mengeluh. “Saya bersyukur kerana masih ada kerja lakonan yang ditawarkan kepada saya. Ada sahaja undangan berlakon komedi yang saya terima. “Tapi terbatas untuk penggambaran dalam studio sahaja, kalau di luar studio maaf saya tidak dapat menerimanya kerana keadaan kesihatan saya. “Ada banyak hikmah yang mungkin kita tidak sedar, jadi elok sangat kita ceria dan sentiasa positif,” tambahnya. Pelakon berusia 58 tahun itu baru-baru ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama seminggu akibat keadaan kesihatannya yang semakin menurun. Sumber: Gempak
|
ADVERTISEMENT