Seorang lelaki dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini kerana mencuri sekotak paracetamol. Utusan melaporkan Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulhilmi Sholehat, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri ubat berkenaan di sebuah premis, minggu lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah melakukan kesalahan mencuri satu kotak Panadol Activefast bersamaan 100 biji di Watson Personal Care Stores Sdn. Bhd. di Taman Duyung Bistari dalam daerah Melaka Tengah, 3.51 petang pada 12 Februari 2023. Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan telah hilang pekerjaan sebagai tukang cuci kereta dan mengalami kesempitan wang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat. Mahkamah kemudian menjatuhkan penjara sehari dan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh yang gagal membayar denda tersebut dihantar ke Penjara Sungai Udang. Dalam prosiding sama, tertuduh turut dihadapkan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah akta sama, dibaca bersama Seksyen 38B akta sama kerana mengambil methamphetamine. Tertuduh dibenar ikat jamin RM2,000 dan mahkamah menetapkan 4 April depan untuk serahan laporan patologi dan sebutan semula kes. - CARI |
ADVERTISEMENT