Mayat Lans Koperal Edrin Baintim, 25, selamat tiba di Lapangan Terbang Sandakan di sini pada 9.25 malam tadi, lapor Harian Metro. Mayat mendiang yang ditemukan terdampar semalam di paya bakau di Batu 8, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Banting, Selangor diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Subang dengan pesawat Hercules C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 5.30 petang semalam.
Ketibaan mayat mendiang disambut Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Kinabatangan Mejar Shah Wira Ma'rof. Anggota tentera turut memberi penghormatan terakhir kepada anggota Tentera Darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau komando itu. Beberapa ahli keluarga terdekat mendiang turut mengiringi jasadnya ke Sandakan dengan menaiki pesawat TUDM.
Mayat mendiang dibawa ke tempat kelahirannya di Kampung Maliau, Tongod kira-kira 10 malam. Pada 7 Februari lalu, Edrin dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan, Melaka. Sementara itu, keluarga mendiang menerusi Facebook Andy Loys berkongsi rasa sedih atas kehilangan Edrin namun reda dengan ketentuan tuhan. "Selamat berehat kepada adik bongsu kami. "Rehatlah dengan tenang. Anda hebat, wira negara Malaysia. Kami yang tinggal (masih hidup) juga akan melalui kematian," katanya dalam hantaran FB, semalam. Keluarga Edrin juga berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam misi pencarian anggota tentera itu sejak 7 Februari lalu. Abangnya, Fikri Abdullah, 41, berkata, meskipun sedih dengan kehilangan adik bongsunya itu, dia reda dan bersyukur mayat Edrin akhirnya ditemukan. Bagaimanapun, katanya kepada BERNAMA, ibu bapanya masih belum terima hakikat yang anak bongsu kesayangan mereka sudah tiada. Difahamkan, pengebumian akan dijalankan hari ini di Kampung Maliau, Tongad, Sabah dengan sesi penghormatan terakhir mulai 6 pagi hingga 3 petang di rumah keluarganya di kampung itu. - CARI
|
KamikuP replied at 21-2-2023 03:55 PM
Selamat jumpa akhirnya. Dari Melaka hingga ke Selangor hanyutnya.
ADVERTISEMENT