Wanita di Wenzhou, China nekad memfailkan tuntutan saman dan cerai apabila suaminya membolot kemenangan wang loteri. Menurut Harian Metro, lelaki itu menyembunyikan kemenangan loteri sebanyak 10 juta yuan (kira-kira RM6.4 juta) daripada isterinya.
Memetik Oddity Central, wang loteri itu dimenanginya pada 2021. Selepas membayar cukai mandatori, hasil kemenangan bersih diperolehinya adalah sebanyak 8.43 juta yuan (kira-kira RM5.4 juta). Dia bagaimanapun menyembunyikannya daripada pengetahuan isteri dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sepanjang dua tahun dia mengunci mulut, Zhou memindahkan 2 juta yuan (kira-kira RM1.3 juta) kepada kakaknya dan 700,000 yuan lagi kepada bekas isterinya untuk membantunya membeli sebuah pangsapuri. Tidak pasti bagaimana rahsianya terbongkar, tetapi wanita itu memfailkan cerai dan saman untuk potongan hadiah loterinya.
Memandangkan kedua-duanya berkahwin pada masa kemenangan, wang itu dianggap sebagai harta bersama dan isterinya menuntut dua pertiga daripada 2.7 juta yuan (kira-kira RM1.7 juta) yang diberikan kepada kakak dan bekas isteri tanpa persetujuannya. Mahkamah Wenzhou pada 1 Februari bersetuju dengan permohonan wanita itu untuk mendapat 60 peratus daripada kemenangan yang disembunyikan dan tiada pihak memohon rayuan terhadap keputusan itu. - CARI
|
ADVERTISEMENT