Kaka Azraff mengesahkan sedang hamil anak ketiga dan kandungannya kini sudah memasuki usia enam bulan. Menurut pemilik nama lengkap Nor Atiqa Noor Azraff itu, dia dijangka melahirkan cahaya mata itu pada Jun depan.
“Ya, saya sedang hamil anak yang ketiga dan sekarang sudah memasuki enam bulan. Insya-Allah, saya akan melahirkan pada bulan enam kelak. “Ramai orang cakap tidak nampak (perutnya) mungkin kerana penat melayani anak nombor dua,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online. Berkongsi pengalaman hamil anak ketiga, Kaka mendedahkan dia mengalami alahan teruk ketika trimester pertama tetapi dapat dikendalikan dengan baik.
“Semasa mengandungkan anak nombor satu dan dua saya sedikit manja tetapi untuk yang ketiga ini saya makan asal boleh hidup sahaja.k “Sebenarnya beberapa bulan pertama, saya mengalami alahan agak teruk tetapi sudah pernah merasai sebelum ini. Bagi anak ketiga ini, saya tahu bagaimana untuk mengendalikan alahan,” ujar pelantun lagu Bukan Hal Aku itu.
Kemunculannya pada Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37) sebagai penyanyi untuk pembukaan acara bagaimanapun langsung tidak menampakkan dirinya sedang berbadan dua. Kata Kaka, meskipun sedang hamil, dia tetap mengambil tawaran bekerja bersesuaian dengan keadaannya sebelum melahirkan.
“Semasa muncul di AJL, saya lupa tengah hamil dan orang lain yang ingatkan saya. Dapat mengendalikan persembahan dengan baik di atas pentas sudah okey. “Saya masih mengambil tawaran bekerja seperti persembahan nyanyian kerana kehamilan kali ini lebih santai dapat menguruskan lebih masa dengan suami,” ujarnya yang menyanyikan lagu Nuri di pentas AJL37. Sebelum ini, pelantun lagi Gila itu pernah mengharapkan anak perempuan ketika kehamilan cahaya mata kedua namun kini dia lebih reda soal jantina.
“Sejujurnya harapan untuk memiliki anak perempuan semasa kehamilan kedua tetapi reda sahaja bila dapat anak lelaki. “Saya gembira memiliki semua anak lelaki kerana berasa seperti permaisuri di rumah,” ujarnya.
Untuk info, Kaka mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan iaitu Adam Azriff pada 14 Disember 2014. Hasil perkahwinan mereka memiliki dua anak lelaki iaitu Aslan, 4, dan Aryan, 1. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|