Tom pernah meluahkan rasa trauma untuk kembali berumah tangga namun kehadiran Fuad Rahman telah membuka hatinya untuk kembali bergelar isteri. Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, berkata, keputusan mendirikan rumah tangga dibuat disebabkan mereka kerap bersama dan mahu mengelakkan fitnah masyarakat.
"Sebenarnya dua-dua pun masih trauma nak kahwin semula. Ketika awal kembali bercinta pun kami ada cakap tak nak fikir soal kahwin dalam masa terdekat ini. "Tetapi hubungan kami semakin rapat. Nama pun orang semakin kenal dan ramai melihat kami kerap keluar bersama. Jadi lebih baik kahwin daripada mengundang fitnah ramai. "Kami juga tidak mahu orang terus bercakap tentang hubungan ini kerana ia memberi kesan kepada keluarga," katanya kepada mStar.
Tambah Tom, keputusan berkahwin juga didorong permintaan keluarga supaya mereka segera mempunyai ikatan sah sebagai pasangan suami isteri. Bercakap soal perancangan majlis berkenaan, kedua-dua bekas peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) ini masih belum menetapkan tarikh.
"Sebenarnya keluarga kedua-dua belah pihak juga yang suruh kami segera nikah. Fuad pun tak pernah ajak saya kahwin dalam masa terdekat. Jadi kami ikutkan sahaja kehendak keluarga. "Mereka melihat banyak gambar dan video kami bersama. Sebab itu keluarga suruh kami segera nikah. "Sekarang ini semua orang tanya bila nak nikah, tapi kami belum ada tarikh lagi. Insya Allah sebelum Ramadan ini kami bernikah. Majlis akan diadakan secara kecil-kecilan dahulu bersama keluarga dan teman rapat," jelasnya.
Sementara itu kata Tom anak-anak juga menerima baik kehadiran Fuad selepas mereka mengambil keputusan bercinta kembali. Tom dan Fuad sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 2005 namun ikatan itu terputus pada 2010 apabila Fuad ditahan pihak polis Singapura dan dijatuhkan hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.
Untuk rekod, Tom pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan hasil perkahwinan tersebut dia mempunyai tiga orang cahaya mata lelaki. Manakala Fuad pula pernah berkahwin sebanyak dua kali dan memiliki dua orang anak hasil perkahwinan pertama. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|