Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak menjelaskan, tiada kejadian pembelian tiket penerbangan secara pukal oleh ejen pelancongan tempatan dan menjualnya lebih mahal di Sarawak.
Pengerusinya, Oscar Choo, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara itu. "Itu tidak berlaku di Sarawak. Jika kita lihat dari laporan media juga, ia adalah satu isu di peringkat nasional," katanya pada satu sidang media mengenai Pameran Kembara MATTA Sarawak Ke-17 2023, di sini, semalam. Oscar berkata MATTA Sarawak, yang mempunyai seramai 157 ahli, juga bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menangani isu borong tiket tersebut. "Sebab itu kami sentiasa menggalakkan orang ramai untuk mengembara dengan ejen pelancongan yang berlesen agar perkara itu dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.
Pada 1 Feb lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kementeriannya akan mengambil tindakan tegas termasuk pembatalan lesen lesen agensi pelancongan sekiranya didapati terbabit dalam pembelian tiket penerbangan secara pukal. Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat beberapa syarikat umrah tempatan yang 'memborong' tiket penerbangan ke Tanah Suci dan didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar. Sumber: BERNAMA
|
ADVERTISEMENT