Polis telah merakam keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut susulan kes sebuah kenderaan yang dipercayai miliknya telah melanggar undang-undang jalan raya di Bentong baru-baru ini.
Polis melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Bentong juga telah mengeluarkan notis saman terhadap Lee Chin Chen petang semalam. Chin Chen dalam kenyataan ringkasnya memaklumkan akan menjelaskan saman terbabit dalam masa terdekat. “Saya telah menerima kehadiran anggota polis daripada BSPT Daerah Bentong di pejabat saya untuk mengambil kenyataan saya berkaitan dengan gambar kenderaan peribadi saya yang tular di media sosial. “Saya telah memberikan kerjasama kepada mereka dan satu surat saman telah dikeluarkan ke atas kesalahan trafik tersebut. Saya akan menjelaskan saman ini seperti mana rakyat Malaysia yang lain dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu turut berterima kasih kepada polis yang telus dalam menjalankan tanggungjawab. Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengira status. Beliau berkata sedemikian susulan tular gambar sebuah kenderaan utiliti sukan berwarna hitam dipercayai milik seorang wakil rakyat di negeri ini yang menyalahi peraturan dua hari lalu. Sumber: MalaysiaGazette |
ADVERTISEMENT