Hobi berbasikal pernah menjadi trend di negara kita sehingga ia turut membawa banyak masalah buat pengguna jalan raya. Namun kebelakangan ini, kehadiran kumpulan berbasikal di jalan raya dilihat makin berkurangan, sekali gus memberi bayangan bahawa trend itu semakin dilupakan.
Perkara itu turut dikongsi seorang pelayar Facebook, Syahmi Ismail Mie yang menyingkap semula peningkatan trend 'hobi mahal' berkenaan ketika pandemik Covid-19 melanda, tiga tahun lalu. "Kalau tuan puan ingat, masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, basikal je sukan dibenarkan. Pakat la beli sebab terliur tengok orang post gambar naik basikal. "Ditambah pula masa tu geng artis pun sibuk tak pernah main basikal pergi beli basikal. Masa ambil gambar lagi banyak daripada kayuh," ujarnya membuka cerita. Disebabkan peningkatan trend secara mendadak, Syahmi mendakwa terdapat pemilik kedai basikal yang menaikkan harga secara melampau pada waktu itu.
Lebih teruk, dia mendakwa segelintir individu sanggup membuat pinjaman wang demi membeli basikal yang sedang menjadi kegilaan ramai ketika pandemik. "Gila-gila harga basikal dan alat ganti naik melampau. Saya yang main basikal sebelum tu lagi tengah simpan duit nak beli gear set tak jadi terus sebab harga naik tiga kali ganda. "Yang seronoknya masa tu saya gelak je dekat orang yang baru nak main sebab ikut trend. Basikal saya beli RM2,150 naik jadi RM3,500. Itu pun sampai habis stock kat kedai. "Tapi masa tu ramai tengah ada duit moratorium, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tak balik kampung, tak pergi bercuti... duit banyak la guna untuk makan dan bayar bil je. "Masa ni peluang syarikat pinjaman bagi loan untuk sesiapa nak beli basikal. Apa lagi, bersepah basikal atas jalan masa tu. Berita dan laporan negatif pasal geng basikal sama naik masa tu," ujarnya lagi. Bercerita lanjut, dia berkata geng basikal turut menerima tempias gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang menyusahkan pengguna jalan raya. "Masa tu aku pun dah jadi malas nak kayuh buat sementara. Sebabnya kenderaan lain dah menyampah dengan group basikal. Mereka pun dah tak ada respect. "Banyak kemalangan teruk masa ni. Perangai newbie yang over buat benda tak sepatutnya. Yang maki kereta la. Yang bawa anak naik basikal sampai lebuh raya. Macam-macam isu," ujarnya. Disebabkan pandangan negatif masyarakat, Syahmi yang sudah lama bergiat dengan hobi itu turut mengambil keputusan untuk berhenti berbasikal buat sementara waktu. Selepas PKP berakhir dan kehidupan kembali normal, Syahmi berkata trend tersebut juga semakin dilupakan, malah ada yang mula menjual semula basikal kesayangan mereka. "Sekarang 2023 dah tak ramai dah. Tinggal mereka yang memang main basikal ni sebelum jadi trend lagi. Tak ada group pun mereka kayuh je sorang-sorang. Tapi yang kesian yang buat loan. "Pakat up gambar nak tolak basikal kat group sebab nama kena blacklist, sangkut dengan loan. Ye lah harga asal RM3,000 tapi kau beli masa trend RM6,000 lepas tu kau nak harga boleh jual RM4,000 hingga RM5,500 dengan alasan look new, siapa yang nak?" ujarnya lagi. Akhir perkongsian itu, Syahmi memberi nasihat secara umum agar kita semua berpada-pada dalam mengikut trend supaya ia tidak menjerat diri pada kemudian hari. "Jadi nasihat saya, apa pun dalam hidup ni, kalau bab seronok dan hiburan ni berpada-pada. Layanlah sebab minat sendiri, jangan layan atas tujuan trend. "Lagi teruk sebab nak show off kita pun mampu. Sebulan dua boleh la orang puji dan teruja. Lepas tu dah tak ada dah la. "Yang ruginya kita sebab duit habis untuk dapat pandangan orang lain. Tapi tak beri kepuasan maksimum pada kita," kata Syahmi lagi. -CARI Sumber: mStar Online
|
damsel_fiji replied at 7-2-2023 08:46 AM
kebuduhan org mesia..apa2 trend semua nk follow ujung2 melingkup..
Themilo replied at 7-2-2023 08:38 AM
biasanyaahh yang beli basikal mahal ni budak-budak roadbike yang terpengaruh dengan alif satar, siti ...
ADVERTISEMENT