Sebuah kajian mendedahkan penemuan bahan cecair getah (resin) pokok dari Asia, minyak sedar dari Lubnan, dan bahan mineral dikenali sebagai bitumen dari Laut Mati, dijadikan antara ramuan bagi orang Mesir mengawet mayat menjadi mumia.
Penyelidik menemui ramuan itu yang diimport dari jauh hingga Asia Tenggara di puluhan bikar dan mangkuk, dalam sebuah kapal, sekali gus menunjukkan perdagangan global membantu mereka mendapatkan bahan terbaik dari seluruh dunia. Koleksi tembikar khas, bertarikh sekitar 664-525 sebelum Masihi (SM), ditemui di dasar telaga sedalam 13 meter di Necropolis Saqqara di selatan Kaherah pada 2016. Orang Mesir purba membangunkan proses yang sangat maju untuk mengawet mayat, dengan kepercayaan jika ia disimpan sempurna, mereka akan kekal hingga ke alam selepasnya.
Keseluruhan proses itu mengambil masa hingga 70 hari membabitkan pengeringan badan mayat dengan garam natron, dan pengeluaran semua organ dalaman termasuk otak, paru-paru, perut, usus dan hati. Pengawet kemudiannya dengan diiringi paderi membasuh mayat dan menggunakan pelbagai bahan untuk mengelakkannya daripada mereput. Namun, bagaimana sebenarnya proses itu dilakukan, sebahagian besarnya kekal hilang ditelan zaman. Kini, sekumpulan penyelidik dari universiti Tuebingen dan Munich di Jerman dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kebangsaan di Kaherah berjaya menemui beberapa jawapan selepas menganalisis sisa bahan dalam 31 bekas seramik yang ditemui melalui bengkel mumia Saqqara. Ketua Pengarang kajian itu, Maxime Rageot melalui sidang akhbar mendedahkan mereka dapat mengenal pasti bahan kimia yang digunakan iaitu bersifat antikulat dan antibakteria yang membantu memelihara tisu manusia serta mengurangkan bau tidak menyenangkan. Beliau berkata, bahan itu mempunyai label yang mana ia sangat membantu. "Label pada tembikar antaranya menjelaskan 'untuk mencuci,' dan 'menjadikan bau menyenangkan'. Bahagian kepala perlu penjagaan yang paling baik dengan tiga ramuan berbeza, salah satunya dilabel 'untuk diletakkan di atas kepala'. Pakar Mesir, Susanne Beck dalam dari Universiti Tuebingen, dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengetahui senarai nama bahan sejak tulisan Mesir kuno ditafsirkan. "Namun hingga kini, kami hanya berupaya meneka bahan apa yang ada di sebalik setiap nama," katanya. Dengan mengenal pasti sisa terbaharu di dalam mangkuk, sekumpulan penyelidik mendapati bahawa perkataan 'antiu' yang diterjemahkan sebagai kemenyan, sebenarnya boleh menjadi campuran pelbagai bahan yang berbeza. Di Saqqara, mangkuk berlabel antiu ialah campuran minyak sedar, minyak cemara dan lemak haiwan. Philipp Stockhammer dari Institut Geoantropologi Max Planck Jerman, berkata penemuan itu menunjukkan orang Mesir purba membina pengetahuan hebat yang terkumpul selama berabad-abad mengenai pengawetan. Stockhammer berkata, salah satu penemuan paling mengejutkan ialah kehadiran resin, seperti damar dan elemi, yang berkemungkinan datang dari hutan tropika di Asia Tenggara, serta bahan dari pokok Pistacia, cemara dan zaitun dari Mediterranean. "Kepelbagaian bahan menunjukkan kepada kita bahawa industri pengawetan memacu momentum untuk globalisasi," katanya. Pengawet dipercayai mengambil kesempatan daripada laluan perdagangan yang datang ke Mesir melalui Indonesia, India, Teluk Parsi dan Laut Merah dari sekitar 2000 SM. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT