Tiada apa yang lebih indah dalam kehidupan seorang wanita berdikari, selain rezeki dipertemukan Allah dengan pasangan jodoh yang memahami dan sentiasa memberi sokongan dalam karier diceburinya.
Bagi pelakon Julia Farhana Marin, 28, dia hanya mampu bersyukur ke hadrat Yang Maha Esa kerana akhirnya bergelar isteri kepada lelaki pilihan hati, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 33, yang dikahwini pada 14 Disember tahun lalu. Julia Farhana yang ditemui pada majlis pelancaran lagu tema filem Coast Guard, Yes Sir nyanyian Zamani 'feat' Ariff Peter berkata, dia menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia dalam tempoh lebih sebulan sejak berstatus isteri orang ini. Katanya, sangat gembira. "Alhamdulillah kami berdua baik-baik saja selepas berumah tangga dan semuanya berjalan lancar. Suami juga amat memahami kerjaya seni saya dan terus memberikan sokongan. Cuma sekarang setiap tawaran berlakon diterima kena rujuk dengan suami dulu.
"Kalau sebelum ini semua keputusan berkaitan karier saya yang biasanya buat sendiri. Tapi, kini perlu biasakan berbincang dengan suami sama ada sesuai atau tidak untuk diambil. Setakat ini suami juga tak halang saya teruskan berlakon," katanya.
Menurut Julia Farhana, selama mereka saling mengenali sehingga berkahwin, tidak pernah lagi berbalah pendapat terhadap sesuatu perkara. Jelasnya, dia dan Che Hafiz memang suka berbincang dan melihat ke arah yang positif. "Suami adalah sahabat yang paling rapat dan cukup mengenali diri saya sekarang. Malah, kami berdua mempunyai sikap yang sama, tidak gemar membabitkan diri atau cuba mencari masalah dengan orang lain. Apa yang orang nak kata kami, biarlah. "Kami sukakan aura perhubungan yang positif. Atas sebab itu, kami sepakat tidak membincangkan atau mengaitkan diri dengan hal orang lain. Apa yang pasti, keluarga lebih tahu dan sentiasa bersama memberikan kami sokongan. Itu paling penting," katanya. Berbicara pula mengenai lakonannya untuk watak Melati dalam filem Coast Guard itu, Julia Farhana berkata, dia teruja membawakan karakter berkenaan walaupun sebagai wanita lasak. Katanya, ia memangkin semangat juang seorang wanita.
"Walaupun aktiviti lasak lebih sinonim dan cenderung dengan lelaki, tapi wanita juga boleh melakukannya. Dalam filem ini, saya sangat terinspirasi dengan semangat seorang pegawai wanita yang bertugas dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). "Jika dia mampu menjadi wanita tangkas beraksi, kenapa saya tidak mencabar diri untuk mencuba. Walaupun tidak sehebat dia, tapi saya boleh lakukan semampu diri. Lagi pula, bukan mudah untuk dapatkan watak Melati itu. Saya perlu bersaing dengan beberapa pelakon wanita lain. "Syukur Alhamdulillah, berkat kegigihan dan kesabaran saya mengikuti latihan lasak disediakan APMM selama tiga bulan sebelum penggambaran filem Coast Guard bermula banyak membantu saya melakonkan babak aksi sendiri dengan cara betul," katanya.
Sehubungan itu, filem Coast Guard yang mendapat sentuhan arahan Allahyarham Pitt Hanif yang penggambarannya dibuat sejak 2018 turut dibintangi pelakon lain seperti Saharul Ridzwan dan Datuk Fizz Fairuz. Ia akan menemui penonton di pawagam pada 2 Februari ini. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|