Seorang remaja perempuan maut akibat dihempap pokok tumbang berhampiran taman permainan di Balok Baru 1 pada Khamis. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 9 malam. "Maklumat lanjut akan menyusul," katanya. Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pokok tumbang itu jam 6.35 petang. Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan dilaporkan cedera dan tidak sedarkan diri akibat dihempap pokok tersebut.
"Pokok yang tumbang itu turut menghempap empat kenderaan dan kabel elektrik. "Bantuan rawatan awal diberikan kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital oleh keluarganya," katanya. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT