GUA MUSANG – Seorang tukang masak warga Thailand dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja yang juga rakan sekerjanya selain memiliki gambar lucahnya pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Ilham Wedue-Oh, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah. Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja berusia tahun 15 tahun di tempat rehat pekerja di sebuah kedai makan di di sini pada Oktober lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Pertuduhan kedua, Ilham turut didakwa terbabit dalam penghasilan pornografi kanak-kanak dengan mangsa yang sama menggunakan telefon bimbit di lokasi dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada enam sebatan jika disabitkan kesalahan. Selain itu, tertuduh turut didakwa tidak memiliki pas perjalanan yang sah bagi memasuki Malaysia di lokasi yang sama kira-kira pukul 8.30 malam pada 4 Januari lalu. Ilham didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya atau tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Ilham dalam rayuannya memohon mahkamah agar mengurangkan hukuman terhadapnya. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi pertuduhan rogol manakala penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi penghasilan pornografi. Selain itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh untuk pertuduhan tidak memiliki pas perjalanan yang sah. Mahkamah menetapkan hukuman penjara bagi kesemua pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 Januari lalu. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT