JAKARTA: Video operasi mengeluarkan mayat seorang lelaki dari daerah Makasar di Jakarta Timur tular di media sosial baru-baru ini selepas mangsa disyaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan fon kepala dan telefon bimbit yang sedang dicas.
Lapor Kompas.com, mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan hangus dan bengkak telah dipindahkan oleh pegawai bersama ketua masyarakat setempat namun video proses mengeluarkan mayat itu mengejutkan ramai pihak. Bagaimanapun, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Makassar, Mochamad Zen mengesahkan mangsa tidak terkena renjatan elektrik seperti dilaporkan dalam video tular itu sebaliknya meninggal dunia akibat penyakit hati yang dihidapinya. Berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian, perubahan warna kulit yang kelihatan hitam dan bengkak pada badan mangsa berpunca daripada salur darah yang pecah dan proses biologi mayat.
“Tiada sebarang kesan terkena renjatan elektrik. Menurut keterangan saksi, mangsa terakhir dilihat pada malam Selasa lalu dan ditemukan pada Khamis lalu,” jelas Mochamad. Mochamad berkata, mangsa disyaki meninggal dunia lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui dan berlaku proses penguraian dalam tempoh tersebut. Unit Siasatan Jenayah Polis Makassar telah menawarkan untuk melakukan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian namun ditolak keluarga mangsa. “Keluarga juga memberitahu mangsa mempunyai sejarah penyakit hati. Keluarga mangsa mengemukakan surat meminta bedah siasat tidak dijalankan dan menerima kejadian itu sebagai musibah,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT