Seorang bekas Ahli Parlimen wanita di Afghanistan serta pengawal peribadinya ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali, di kediaman beliau di Kabul pada awal pagi semalam, menurut polis, hari ini.
Ia adalah kali pertama seorang Ahli Parlimen daripada pentadbiran terdahulu, dibunuh di ibu negara ini sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021. Ketua polis tempatan, Molvi Hamidullah Khalid, berkata Mursal Nabizada dan pengawal peribadinya dibunuh kira-kira jam 3 pagi semalam di dalam bilik sama. Beliau berkata, seorang abang Nabizada dan seorang lagi pengawal keselamatan pula cedera dalam insiden itu, manakala pengawal keselamatan ketiga didakwa melarikan diri dari tempat kejadian bersama wang serta barang kemas. Nabizada dilaporkan maut di tingkat pertama yang dijadikan pejabat beliau di rumah.
Khalid memaklumkan siasatan sedang dijalankan, namun beliau tidak menjawab soalan mengenai kemungkinan motif serangan itu. Nabizada menjadi Ahli Parlimen mewakili Kabul pada 2019 dan menyandang jawatan itu hingga Taliban mengambil alih kuasa. Beliau adalah ahli Suruhanjaya Pertahanan Parlimen, selain bertugas di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang merupakan sebuah institusi swasta bukan kerajaan. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT