Seorang guru di Amerika Syarikat (AS) mati di halaman belakang rumahnya beberapa minggu selepas bertemu seorang lelaki menerusi platform temu janji online. Daily Star semalam melaporkan, guru sekolah rendah berkenaan, Wendy Duan, dari Texas maut ditembak seminggu selepas bertemu lelaki tersebut.
Polis memaklumkan bahawa mangsa telah dibunuh dalam satu jenayah keganasan dan mereka mengesan suspek lelaki tersebut setelah dia dikenal pasti. Suspek, Charves Thompson, kemudian ditahan pada Rabu lalu di negeri Louisiana. Thompson ditemui sejauh lebih 418 kilometer (km) dari lokasi di mana dia didakwa menembak mangsa beberapa kali minggu lalu. Menurut Jabatan Polis Sugar Land, detektif dengan pantas mengenal pasti Thompson sebagai suspek selepas menemu bual saksi, menyemak video pengawasan dan mengesahkan kenderaannya daripada pembaca nombor pendaftaran kenderaan di kawasan itu.
Ibu mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, pasangan itu bertemu di aplikasi temu janji MeetMe. Mereka baru bertemu janji selama seminggu tetapi cara mereka bertemu membuatkan dia berasa ‘tidak selesa’. “Lelaki itu sangat jahat. Dia mengambil nyawanya. Saya harap lelaki ini mendapat hukuman undang-undang sepenuhnya,” kata wanita itu. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT