Kontroversi pernikahan membabitkan pengarah terkenal, Syamsul Yusof dengan Ira Kazar di Thailand baru-baru ini sedikitpun tidak menjejaskan aktiviti ‘nikah Siam’ dalam kalangan pasangan dari negara ini.
Malah, tempahan untuk bernikah di negara jiran itu tetap rancak dengan setiap ejen tidak menang tangan untuk melayan permintaan daripada pasangan terutama mereka yang ingin berpoligami. Perkara itu didedahkan seorang ejen nikah dikenali Kamal yang mengakui lebih 20 pasangan telah merentasi sempadan negara ini melalui negeri Perak setiap seminggu termasuk pada musim cuti persekolahan. Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hari biasa yang hanya merekodkan 15 pasangan tempatan yang memilih untuk bernikah di Songkhla, Thailand. “Sebenarnya isu pernikahan melibatkan Syamsul dan Ira Kazar di Thailand baru-baru ini sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia bukanlah isu besar sehingga menjejaskan aktiviti ‘nikah Siam’. “Sebaliknya, suasana makin meriah walaupun ada pihak terutama golongan wanita yang seolah-olah meperli individu yang ingin bernikah di Thailand. “Pernikahan di negara jiran ini sudah lama berlaku dan dijangka terus ‘hidup’ selagi mana ada permintaan daripada pasangan di Malaysia,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Kamal, pasangan yang memilih untuk bernikah di Thailand kebanyakannya datang dari Perak, Kedah, Johor serta Kuala Lumpur. “Jika di Perak utara, mereka akan bernikah di Songkhla, manakala di negeri Pantai Timur, pernikahan itu biasanya diadakan di Narathiwat. “Bagaimanapun, ramai yang memilih untuk bernikah di Songkhla kerana ia terletak berhampiran dengan Konsulat Jeneral Malaysia di sana dan pengesahan pernikahan pasangan perlu dilakukan di situ,” katanya. Tambah beliau, pasangan yang bernikah di sempadan biasanya menghabiskan antara RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan ejen nikah. “Secara peribadi, apa juga isu yang timbul termasuk membabitkan pernikahan artis di Thailand, ia tidak akan memberi kesan kepada jumlah pasangan dari Malaysia yang mahu bernikah di negara jiran itu. “Jumlah pasangan yang mahu bernikah tetap ada dan jika hari biasa, bilangannya sekitar 15 pasangan, tetapi akan meningkat mendadak pada cuti persekolahan,” jelasnya. Bagaimanapun, Kamal mngakui pendapatan mereka sebagai ejen nikah sedikit terjejas pada musim tengkujuh baru-baru ini ekoran faktor hujan dan banjir. “Ramai yang sudah menempah tarikh untuk bernikah, tetapi terpaksa membatalkan hajat itu pada saat akhir. “Berdasarkan rekod yang ada, pasangan yang bernikah pada musim tengkujuh adalah kurang daripada 10 pasangan setiap minggu,” tambahnya. Di Kota Bharu, Kelantan, seorang ejen nikah Siam dikenali Ijad, 45, berkata, isu nikah di Thailand yang menggemparkan negara membabitkan pasangan selebriti baru-baru ini tidak akan memberi kesan kepada pasangan lain yang mahu bernikah di negara jiran itu. Katanya, pernikahan di Thailand sebenarnya tidak menjadi isu kerana sah di sisi agama, namun pasangan perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia dengan segera bagi mengelak sebarang kesulitan. “Saya tidak rasa ada pasangan yang mahu membatalkan hajat mereka bernikah di Thailand hanya kerana isu perkahwinan artis yang dihebohkan sebelum ini. “Semua perlu tahu bahawa urusan pernikahan di Thailand tidak menjadi masalah kerana kita berurusan dengan imam dan pihak jabatan agama di sana. Urusan di sana juga lebih mudah sekiranya bakal isteri membawa walinya sendiri. “Jika tiada wali, urusan sedikit rumit apabila perlu ada dokumen kahwin luar negara selain perlu berwali hakim. Sebagai ejen nikah, tiada apa yang perlu saya dan rakan-rakan yang lain takut kerana kami tahu prosedur yang dilakukan,” katanya. Tambahnya, isu yang kecoh baru-baru ini hanyalah sebagai ‘penambah selera’ kepada aktiviti pernikahan di Thailand. “Keadaan akan reda dan orang akan berhenti bercakap selepas ini. Lagi pun, ramai lagi pasangan yang tetap mahu bernikah di Siam kerana urusan lebih mudah dan sah di sisi agama,” ujarnya. Menurut Ijad, dia masih menetapkan bayaran sebanyak RM3,500 untuk satu pasangan yang bernikah di Narathiwat dan akan meminta sedikit bayaran pendahuluan terlebih dahulu daripada kesemua pasangan sebelum proses pernikahan dilangsungkan. Katanya, harga tersebut sudah cukup untuk urusan dokumen, membayar upah imam, wakil di Thailand termasuk upah pengurusan. “Tiada sebarang kenaikan harga pada tahun ini. Saya jangkakan, lebih ramai pasangan akan bernikah di Siam pada bulan depan iaitu sebelum bulan Ramadan,” katanya. Dalam pada itu, seorang lagi ejen dikenali sebagai Dollah, 60, berkata, isu pernikahan artis tempatan di Thailand bukanlah masalah utama berbanding isu banjir yang jelas telah menjejaskan pendapatan mereka. Katanya, bencana banjir yang berlaku di Kelantan dan beberapa buah daerah di selatan Thailand bulan lalu menyebabkan dia kehilangan pendapatan sebanyak RM5,000. “Sejujurnya, saya langsung tidak dapat menguruskan urusan perkahwinan di sana ketika ini. Apabila tiada urusan, maka saya juga tiada pendapatan. “Bagaimanapun, keadaan sudah pulih seperti biasa ketika ini dan saya jangkakan tempahan untuk bernikah di Thailand akan bertambah,” katanya. Dollah memberitahu, pada awal Disember lalu, dia terpaksa membatalkan kira-kira 15 tempahan pasangan tempatan yang akan melangsungkan perkahwinan di Narathiwat kerana hujan lebat melanda Kelantan dan Selatan Thailand ketika itu. “Kebanyakan pasangan yang saya uruskan pula datang dari luar Kelantan. Jadi, saya tidak mahu perkara lain yang berlaku sehingga menyusahkan semua pihak,” katanya. Sumber: KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT