Penyanyi, Ernie Zakri, memohon semua pihak dapat mendoakan bapa mentuanya, Mohd Fodzly yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Perkara itu dimaklumkan Ernie ketika menjayakan This Is Ernie Zakri Showcase di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), di sini, malam ini. Menurut Ernie, dia turut terharu apabila suaminya, Syamel tetap menguatkan semangat hadir bagi memberi sokongan pada acara tersebut, meskipun sedang bersedih dengan keadaan bapanya. “Sebenarnya, saya sangat sedih dan berharap anda semua dapat mendoakan kesembuhan buat ayah mentua yang kini berada di ICU.
“Tidak mudah bagi kami dan saya tahu, suami juga bergelut dengan perasaan sama ada mahu bersama ayahnya atau isterinya. “Tetapi, dia tetap datang ke sini untuk menyokong. Terima kasih, saya amat terharu,” katanya. Selain itu, kata Ernie, dia juga mengingatkan semua pasangan agar sentiasa mencari waktu untuk meluahkan kasih dan sayang buat insan bermakna dalam hidup mereka. “Kepada yang ada pasangan atau siapapun yang kita sayang, tidak kisah keluarga atau kawan-kawan, usah malu untuk luahkan betapa kita sayang mereka. “Kita tidak tahu, bila-bila masa sahaja tidak akan jumpa lagi orang yang kita sayang. Seperti minggu lepas, saya kehilangan dua insan yang saya sayang. “Jadi, telefon orang kita sayang dan luahkan. Kalau tidak luah, kita tidak tahu,” katanya. Menerusi perkongsian di Instagram, Syamel juga ada membuat naik hantaran mengenai keadaan terkini bapanya. “Minta jasa baik semua untuk mendoakan kesembuhan ayah kesayangan saya yang kini berada di ICU kerana jangkitan kuman pada paru-paru. “Tiga hari sudah berlalu, Alhamdulillah, keadaan ayah semakin baik. Sama-sama kita doakan,” tulisnya. Pada persembahan showcase anjuran Rocketfuel Entertainment itu, Ernie membawakan 10 lagu hitsnya buat peminat yang hadir memberi sokongan, antaranya Boneka, Gundah, Ku Bersuara, Hal Hebat, Jangan Marah dan single terbaharu, Astana. Yang turut hadir memberi sokongan adalah rakan artis seperti Sissy Imann, Wany Hasrita, Amira Othman, Amelia Henderson dan Sarah Suhairi. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT