CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Anak Jati Melaka Tunggang Motosikal Ke Beratus Negara Bawa Mesej Alam Sekitar

11-1-2023 01:15 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 579| Komen: 0

Usia 62 tahun tidak menghalang pesara pengurus penyelenggaraan dan elektrik menunaikan misi mengelilingi dunia secara solo dengan menunggang motosikal berkuasa besar untuk mengetengahkan isu alam sekitar.


Dalam kembara itu, warga emas, Katiravan Subarayan menunggang motosikal BMW 1200 GSA yang digelar Parameswara, sesuai dengan asal usulnya sebagai anak jati Melaka.


Dalam pengembaraan, Katir akan mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej kesedaran alam sekitar.

Katiravan sememangnya bukan nama asing dalam dunia penjelajahan bermotosikal apabila beliau sebelum ini pernah mengembara ke tujuh buah negara pada tahun 2018 meliputi Thailand, Myanmar, India, Bhutan, Nepal, Pakistan dan Bangladesh yang memakan masa selama 64 hari dengan jarak sejauh 22,022 kilometer (km) secara perseorangan.


Pengembaraan itu juga menyimpan memori indah apabila beliau berpeluang menanam pokok neem di Mandi Dabwali di sempadan Punjab-Haryana, India.

Baru-baru ini, Katiravan memulakan pula kembara mengelilingi dunia meliputi 106 negara yang bakal mengambil masa selama 20 bulan.

Tanggal 2 Januari lalu, satu majlis pelepasan kembara Katiravan telah berlangsung di Batu Caves, Selangor.

Dari Batu Caves, Katiravan dijadual menuju ke Indonesia, Australia, New Zealand, Jepun, Taiwan, Russia, negara-negara Eropah, Kanada, mungkin akan ke Alaska seterusnya ke Amerika Tengah, Amerika Selatan, Afrika Utara, Asia Barat, Asia Tengah dan kembali ke Asia Tenggara.

Beliau akan menunggang motosikal melalui 70 peratus laluan darat, selain membawa kenderaan itu melalui pengangkutan udara dan laut apabila tiba masa menyeberangi lautan.

Bakal mengetengahkan isu alam sekitar khususnya pemanasan global, usaha tersebut dilakukan atas dasar rasa cintanya kepada alam sekitar.

Kisahnya bermula sewaktu usia kanak-kanak lagi apabila beliau dan adik-beradik lain diajar menjaga dan menyayangi alam sekitar oleh bapanya ketika mereka menetap di Ladang Bukit Asahan, Melaka.

“Ketika itu, ayah saya bekerja di ladang yang diberikan pihak pemaju untuk ayah bercucuk tanam. Ayah akan mengajak saya dan adik-beradik lain untuk turut serta ke ladang.

“Semakin banyak bercucuk tanam, maka semakin banyak sayur-sayuran diperoleh dan dapat dimakan serta dapat menikmati permandangan menghijau yang baik untuk mata. Sejak itu, saya sangat menggemari alam semula jadi,” katanya yang mesra disapa Katir kepada K2 beberapa hari sebelum pelepasannya.

Menurut Katir, suasana sejuk dan nyaman begitu terasa kala melewati rimbunan pokok-pokok atau melintasi kawasan-kawasan hutan rimba, berbeza dengan kawasan dikelilingi bangunan seperti di bandar yang ternyata lebih panas dan berbahang.


Pakistan turut dikunjungi Katir dalam kembaranya sebelum ini.

Disebabkan terlalu menggemari alam semula jadi juga, beliau sering memakai baju berwarna hijau sepanjang menghadiri latihan kursus elektrik di sebuah institusi di Kuala Pilah selepas menamatkan persekolahan sehingga diberi gelaran ‘Katir Hijau’ oleh rakan-rakannya.

Bercakap mengenai isu pemanasan global yang semakin membahangkan Bumi, Katir berkata, kesedaran itu timbul apabila mengenangkan nostalgia tinggal di estet satu ketika dahulu.

“Kawasan tersebut sentiasa mendapat curahan hujan. Persekitaran juga sentiasa sejuk dan lembap kerana jarak antara rumah dan Gunung Tahan hanya sejauh tiga kilometer saja, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hujan jarang turun,” katanya.

Demi menyingkap kebenaran, Katir membaca bermacam-macam jenis bahan bacaan seperti buku dan artikel di internet mengenai isu pemanasan global. Menerusi pembacaan tersebut, beliau mendapati bahawa di Antartika pada ketika ini, bongkah-bongkah ais besar dilaporkan sudah mulai mencair disebabkan suhu dunia yang meningkat kepada satu darjah Celsius.

“Apabila suhu bertambah, maka ais yang mencair akan meningkatkan paras air laut dan apabila paras laut tinggi, maka banjir akan berlaku. Penebangan pokok-pokok turut menyebabkan Bumi tidak mendapat perlindungan daripada cahaya matahari seterusnya mengakibatkan sumber air mengering akibat kemarau. Apabila ini berlaku, generasi masa hadapan akan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air.

“Saya sanggup berkorban dalam memperjuangkan isu ini kerana kita hanya memiliki satu Bumi sahaja. Jika semua enggan mengambil tahu, siapa lagi yang hendak menjaga alam sekitar yang akan diwariskan kepada cucu-cicit kelak? Maka itu, kita harus melakukan sesuatu untuk menjaganya serta menggalakkan orang ramai untuk menanam satu pokok setiap kali beroleh kejayaan, baik kecil mahupun besar,” katanya yang berasa terpanggil untuk memberi kesedaran kepada orang awam atas rasa tanggungjawabnya.


Katir pernah mengembara ke tujuh buah negara sebelum ini termasuk Myanmar.   

Selain menemui orang ramai untuk menghebahkan mesej alam sekitar, Katir juga berniat mempromosikan sektor pelancongan dengan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang sangat indah, baik dan harmoni.

Ujarnya, meskipun dirinya kaum India dan beragama Hindu, beliau mengakui sangat menghormati agama rasmi negara ini selain menyifatkan bahasa Melayu sebagai tali penghubung utama antara rakyat Malaysia.

Mengenai kos kembara, Katir berkata, anggaran kos pada perancangan awal adalah sekitar RM300,000, tetapi disebabkan pandemik Covid-19, semua harga meningkat secara mendadak hingga menelan kos kira-kira RM600,000.

Pun begitu, ia tidak mematahkan semangatnya memperjuangkan misi itu.

Pengembaraan merentasi lautan amat memerlukan dana yang banyak. Justeru, Katir sangat mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menyumbang dan membantu menjayakan misinya dengan menghubunginya di [email protected].

Katir juga sempat memberikan nasihat agar tidak terburu-buru hendak mengembara di usia muda. Sebaliknya, tunaikan segala tanggungjawab terlebih dahulu kerana dibimbangi pada akhirnya nanti, duit akan habis sedangkan masih banyak keperluan lain belum ditunaikan.

Rakannya yang banyak membantunya dalam merealisasikan kembara ini, Chandrasekhar Arun, 61, berkata, merancang pengembaraan ini bukanlah sesuatu yang mudah, jadi dia menawarkan diri sejak beberapa bulan lalu untuk membantu Katir.

“Saya amat menghormati beliau kerana pada usia sebegini, yang sepatutnya dihabiskan dengan meluangkan masa bersama keluarga dan berehat, sebaliknya dia memilih untuk sesuatu pengembaraan besar dan penuh cabaran tanpa sebarang sokongan kewangan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Arun menyifatkan Katir sebagai seseorang yang berjiwa besar, berani, berkeyakinan tinggi serta memiliki matlamat jelas dan ikhlas.


Sumber: Kosmo

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-1-2025 08:02 PM GMT+8 , Processed in 0.075500 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top