Di sebalik peningkatan kes penyeludupan diesel bersubsidi menerusi perairan negara ke Thailand, tangkapan melibatkan daun ketum dilaporkan berkurangan dengan drastik sejak Jun lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, perkara itu berlaku susulan penurunan permintaan daun ketum daripada negara jiran. “Ia disebabkan oleh usaha penanaman (pokok ketum) oleh pihak Thailand dan juga pemansuhan kesalahan penggunaan dan penanaman pokok ganja di negara tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. Kata beliau, harga pasaran daun ketum sebelum ini boleh mencecah sehingga RM180 sekilogram. “Bagaimanapun, harga pasaran terkini menurun secara mendadak kepada hanya RM20 hingga RM30 sekilogram,” jelasnya. Menurutnya, pasaran yang tidak menguntungkan itu telah menyebabkan penyeludupan daun ketum tidak dapat menampung kos tinggi bagi membawa bekalan tersebut melalui jalan laut. “Keadaan itu menyebabkan penyeludup tidak lagi menyeludup daun ketum ke negara jiran,” ujarnya. Tambahnya, penurunan kegiatan penyeludupan daun ketum bukanlah faktor kepada peningkatan kes seludup diesel bersubsidi pada ketika ini. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT