Pentadbir laman Facebook Najib Razak mempersoalkan gelaran ‘penyamun’ dilemparkan pihak tertentu kepada pemimpin UMNO walhal mereka sebenarnya banyak membantu rakyat.
Beliau berkata, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggunakan wang sendiri untuk kerja-kerja membaik pulih projek perumahan Puri Langkasuka, Larkin yang terbengkalai selama lapan tahun. Jelasnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula membantu dengan membayar balik sebahagian wang yang dibelanjakan oleh Shahrir. “Tapi mereka diheret ke mahkamah oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan digelar penyamun pula.
“Yang kononnya tak samun itu, mereka bantu apa pula?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini. Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sumber: MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT