Zizi Kirana berkongsi rasa teruja kerana akan menunaikan ibadah umrah buat kali pertama pada 24 Januari ini. Lebih manis lagi, dia akan ke Makkah bersama suami tercinta, Yusuf Bahrin, yang juga kali pertama akan menunaikan umrah.
"Insya-Allah, menjelang 24 Januari ini saya akan ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah, sehari selepas tarikh ulang tahun kelahiran saya. "Ini adalah kali pertama untuk saya dan suami menunaikan umrah. Jadi, memang kami sangat teruja untuk umrah kali pertama ini," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai persiapannya, Zizi berkata, dia mempersiapkan bukan saja ilmu mengenai ibadah itu, tetapi juga ubat-ubatan dan pakaian yang sesuai. "Persiapan semuanya sudah disiapkan. Kami memang serta kelas umrah di samping beberapa persiapan lain seperti pakaian dan sebagainya. "Yang mencabarnya adalah saya dimaklumkan dalam tarikh kami di sana adalah waktu kemuncak musim sejuk. Saya pula jenis orang yang tak tahan dengan cuaca sejuk," katanya.
Zizi berkata, dia menganggap semua itu adalah ujian Allah untuknya. Dia juga sudah menyiapkan ubat-ubatan dan pakaian musim sejuk. Zizi juga berdoa agar semua urusannya dan suami dipermudahkan.
"Doa dan harapan saya, tentunya agar dikurniakan zuriat dalam rumah tangga kami. Pada masa sama, saya berharap proses ibadah umrah kami dipermudahkan Allah," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|